Warisan ‘acah-acah’ lagi tanding PRN Johor?
13:01 Jan 23, 2022  |  By SabahKini2
Warisan ‘acah-acah’ lagi tanding PRN Johor?

Warisan dah masuk 'Malaya'. Katanya sudah bersedia tapi PRN Melaka masih takut. Kini PRN Johor masih teragak-agak dan kena berbincang dengan MUDA Syed Saddiq.

Parti Warisan Sabah yang telah masuk ‘Malaya’ masih belum memutuskan sama ada ingin bertanding atau tidak pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebagaimana PRN Melaka.

Perkara itu masih dalam pertimbangan dan akan diputuskan selepas berbincang dengan rakan kerjasama mereka, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) melalui Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

PRN Melaka lalu Parti Muda Syed Saddiq berkata akan bertanding namun saat akhir menarik dari bertanding pilihanraya.

Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor baharu diumumkan petang semalam dan tarikh pilihan raya juga masih belum ditetapkan.

“Kita akan teliti secara mendalam. Saya juga sudah berhubung dengan Syed Saddiq, saya maklumkan kepadanya bahawa perlu ada persediaan sekiranya kita memutuskan untuk bertanding. Walaupun kita ada penyokong di kawasan tertentu.

“Banyak pengalaman saya berkempen di Johor, contohnya di Pasir Gudang, banyak orang Sabah Sarawak berada di situ namun, kita tidak hanya bergantung kepada rakyat Sabah dan Sarawak.

“Jadi kita akan lihat bagaimana keadaan di situ dan kita akan putuskan apabila tiba masanya. Saya akan bincang dengan kawan saya, Syed Saddiq dahulu,” katanya semasa majlis makan malam Warisan semalam.

Ahli Parlimen Semporna itu berkata, tarikh pilihan raya itu masih belum ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Jelas beliau, Warisan sudah bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan itu sebabnya Warisan melebarkan sayap parti ke Semenanjung pada hujung tahun lalu.

“Saya berharap PRU akan diadakan pada bila-bila masa berbanding kita menghabiskan wang untuk mengadakan pilihan raya dari satu negeri ke negeri yang lain. 

“Selepas Melaka, Sarawak dan sekarang Johor dan mungkin negeri lain lagi, ini kerja yang sangat memenatkan. Sekiranya diadakan serentak dengan PRU lagi bagus dan menjimatkan,” katanya.

Mohd. Shafie berkata, pengalaman menyertai banyak siri pilihan raya sebelum ini memberi keyakinan kepadanya untuk berhadapan PRU kali ini.

Menurut beliau, Warisan sudah mengenal pasti calon-calon mereka dan apa yang penting, barisan yang menjadi pilihan kepada rakyat di negara ini sekalipun ramai pemimpin Warisan melompat parti.

Pembubaran DUN Johor diumumkan semalam setelah mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar. Ia dilakukan selepas kerajaan Johor memiliki majoriti tipis dengan 28 kerusi berbanding 27 kerusi di blok pembangkang susulan ADUN Kempas, Datuk Osman Sapian meninggal dunia.

Mampukah Shafie Apdal meluaskan empayar Warisan di Semenanjung memandangkan orang kanannya Datuk Peter Anthony pemegang dana parti telah keluar Warisan? Peter Anthony dilaporkan pula akan melancarkan parti barunya pada 28 Januari ini dan katanya ada beberapa Adun bakal menyertainya.

 

Comment