Perintah berkurung ESSZONE akan diteruskan sehingga 9 Februari
15:01 Jan 24, 2022  |  By SabahKini2
Perintah berkurung ESSZONE akan diteruskan sehingga 9 Februari

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah berkata, perintah berkurung itu meliputi perairan Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran.

KOTA KINABALU: Perintah berkurung di kawasan perairan tujuh daerah dalam Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) dilanjutkan.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah berkata, perintah berkurung itu yang berakhir hari ini, kini dilanjutkan sehingga 9 Februari depan.

Beliau berkata, ia meliputi perairan Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran.

Justeru, penduduk yang tinggal di kawasan tersebut dilarang menghampiri atau berada di kawasan berkenaan di antara 6 petang hingga 6 pagi.

“Perintah ini diteruskan bagi memastikan kawasan perairan berkenaan tidak diceroboh pengganas yang mengancam keselamatan penyelidik antarabangsa yang menjalankan penyelidikan dan pelancong asing yang melawat pulau peranginan.

“Maklumat mendedahkan kumpulan yang menjalankan kegiatan Kidnapping For Ransom (KFR) dan kumpulan Abu Sayaf masih cuba menceroboh ke kawasan ini untuk melakukan penculikan dan lain-lain jenayah rentas sempadan,” katanya dalam satu kenyataan, pada Ahad.

Beliau berkata, perintah ini juga bertujuan menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sabah yang menjadi pengguna perairan dan rakyat berada di kawasan daratan ESSZONE.

"Ini juga akan memudahkan penguatkuasaan dan pemantauan terhadap pergerakan bot serta menimbulkan rasa selamat serta yakin kepada pengusaha chalet dan nelayan dengan kehadiran pasukan keselamatan.

“Saya juga memberi kuasa kepada semua Ketua Polis Daerah di ESSZONE bagi mengeluarkan permit kepada pemohon yang layak bagi tujuan aktiviti perikanan atau ada keperluan mendesak untuk melalui kawasan perintah berkurung itu,” katanya lagi.

Comment