Kutipan hasil negeri Sabah tahun 2021 mencecah RM5.449 bilion
15:01 Jan 27, 2022  |  By SabahKini2
Kutipan hasil negeri Sabah tahun 2021 mencecah RM5.449 bilion

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor berkata, catatan itu merupakan kutipan hasil negeri tertinggi yang berjumlah RM5.449 bilion dan berjaya mengatasi kutipan hasil negeri pada tahun 2014 sebanyak RM 4.541 bilion.

KOTA KINABALU: Sabah mencatatkan kutipan hasil negeri berjumlah RM5.449 bilion bagi tahun berakhir 31 Dis, 2021, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Beliau berkata, catatan itu merupakan sejarah baharu bagi Sabah apabila berjaya menembusi angka RM5 bilion untuk kutipan hasil negeri, sekali gus mengatasi rekod tertinggi yang pernah dicatatkan iaitu RM4.541 bilion pada 2014.

“Dalam berhadapan dengan pelbagai cabaran, kita (kerajaan Sabah) berupaya melakar kejayaan amat signifikan dalam konteks kutipan hasil negeri.

“Saya yakin dan percaya, kita sedang berada di landasan tepat. Beberapa petunjuk ekonomi menzahirkan perkembangan positif,” katanya ketika berucap menyampaikan amanat tahun baharu 2022 sempena perhimpunan penjawat awam pada Selasa.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr Jeffrey Kitingan merangkap Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah; Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr Joachim Gunsalam yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian negeri; dan Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah Datuk Khazim M Yahya.

Hajiji berkata pencapaian itu juga merupakan antara indikator awal bagi keberkesanan pelaksanaan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ), iaitu pelan pembangunan strategik lima tahun yang dilancarkan pada 29 Mac, 2021.

Indikator keberkesanan pelaksanaan Hala Tuju SMJ juga boleh dilihat menerusi keupayaan kerajaan Sabah mengekang penguncupan ketara ekonomi negeri pada 2020 akibat pandemik COVID-19, katanya.

Beliau berkata walaupun ekonomi negeri menguncup sebanyak 9.5 peratus, namun kadar itu mampu dikawal berbanding penyusutan 15 hingga 19 peratus yang diunjurkan lebih awal.

“Berlandaskan pelbagai inisiatif dilaksanakan kerajaan, kadar penguncupan pelbagai sektor pada 2020 telah menunjukkan perubahan signifikan dengan pertumbuhan positif pada 2021.

“Diunjurkan pertumbuhan ekonomi negeri pada 2021 terus menunjukkan trend pemulihan dan bertumbuh meskipun secara perlahan, pada kadar positif 3.8 peratus hingga 4.0 peratus,” katanya.

Beliau mahu momentum itu diteruskan demi memastikan kemampanan hasil dan kedudukan kewangan negeri berupaya memenuhi keperluan peruntukan pembangunan.

Hajiji berkata, kerajaan Sabah juga akan terus memperkasakan pelbagai strategi bagi meningkatkan hasil dalam negeri termasuk menumpukan usaha merintis inisiatif baharu untuk menarik pelaburan dari dalam dan luar negara.

Ini supaya Sabah tidak hanya bergantung kepada sumber hasil negeri sedia ada serta dana diperuntukkan kerajaan Persekutuan, katanya.

Selain itu, beliau berkata perangkaan menunjukkan Sabah telah menerima pelaburan asing bernilai RM 4.4 bilion setakat Jun 2021 dan menyifatkan angka itu satu jumlah yang memberangsangkan dan jauh lebih besar jika mengambil kira kadar pelaburan domestik.

“Namun, saya percaya potensi Sabah jauh lebih luas dan berupaya untuk dilonjakkan pada kadar dan rantaian nilai ekonomi lebih tinggi,” katanya.

Comment