AirAsia sukar keluar status PN17 tukar nama jadi Capital A, MOF pula batal pinjaman RM500 juta
13:01 Jan 30, 2022  |  By SabahKini2
AirAsia sukar keluar status PN17 tukar nama jadi Capital A, MOF pula batal pinjaman RM500 juta

Sekalipun AirAsia menukar nama kepada Capital A penganalisi berpendapat AirAsia sukar dan bergelut untuk pulih daripada Status PN17. AirAsia mempunyai kedudukan dana pemegang saham yang negatif sebanyak RM3.2 bilion setakat 30 September 2021..

 

Selepas Kumpulan AirAsia Berhad yang punya hutang berbilion ringgit dikategorikan sebagai syarikat Nota Amalan 17 (PN17) kini  AirAsia Group Bhd menukar nama kumpulan kepada Capital A Bhd (Capital A) sebagai langkah memulihkan imej teruknya dan memperluaskan lagi skop perniagaan daripada sekadar syarikat penerbangan.

Imej AirAsia sudah tercalar sebagai syarikat bermasalah kewangan dan hutang paling buruk.

Alasan penukaran itu katanya mencerminkan strategi perniagaan teras baharu bagi kumpulan sebagai  syarikat pegangan pelaburan dengan portfolio perniagaan perjalanan dan gaya hidup.

Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes, berkata strategi di sebalik pertukaran nama itu adalah untuk memperkenalkan identiti korporat baharu yang mencerminkan perniagaan teras  dengan lebih baik dan perniagaan masa hadapan sejajar dengan transformasi digital yang pesat daripada syarikat penerbangan kepada kumpulan perkhidmatan perjalanan digital dan gaya hidup sehenti.

Beliau berkata, pihaknya percaya bahawa nama syarikat baharu itu juga akan meningkatkan lagi kebolehpasaran produk dan meningkatkan kejayaan kumpulan untuk jangka masa panjang.

"Pada asasnya Capital A adalah syarikat pelaburan dengan portfolio perniagaan yang luas yang memberikan nilai terbaik pada kos terendah, disokong oleh data kukuh yang dibina selama dua dekad.

Jelasnya, syarikat mempunyai 16 produk dan perkhidmatan di platform airasia Super App, menawarkan penerbangan dan keperluan gaya hidup seharian.

"Daripada makanan kepada barangan runcit dan e-dagang, kepada perkhidmatan penghantaran pada hari yang sama, e-panggilan dan banyak lagi.

Pada 5 Oktober tahun lalu, Kumpulan AirAsia mengumumkan syarikat penerbangan tambang murah itu menerima kelulusan Danajamin Nasional Berhad untuk pinjaman sehingga RM500 juta, untuk pulih daripada impak COVID-19.

Pinjaman tersebut 80% dijamin oleh kerajaan Malaysia, adalah sebahagian daripada pakej rangsangan ekonomi bagi menyokong perniagaan yang terjejas akibat pandemik tersebut bagaimanapun Air Asia terus mengalami kerugian.

Bagaimanapun sumber Kementerian Kewangan memaklumkan dana itu kini dibatalkan memandangkan keadaan AirAsia dalam kategori PN17.

AirAsia yang berstatus PN17 perlu mengemukakan pelan perancangan penstrukturan semula syarikat kepada Bursa Malaysia. Sekiranya Air Asia gagal Bursa Malaysia boleh menggantung urusniaga saham syarikat tersebut dan berkemungkinan akan de-listed dari Bursa Malaysia.

Bagi Negeri Sabah status AirAsia sudah tentu meresahkan selepas kumpulan itu berhutang RM300 juta ketika pemerintahan Kerajaan Warisan dan kini AirAsia akan sukar membayar hutangnya selepas dikategorikan PN17.

[ARTIKEL BERKAITAN- RM300 juta SDB belum dibayar kini Air Asia disenarai syarikat PN17 ]

AirAsia sukar keluar daripada status PN17

Penganalisis ekonomi berpendapat AirAsia Group Bhd masih punya cabaran berliku untuk melangkah keluar daripada status Nota Amalan 17 (PN17) yang sedang dihadapi syarikat penerbangan tambang rendah itu. 

CGS-CIMB misalnya mengekalkan saranan 'kurang' terhadap sahamnya dengan harga sasaran (TP) dinilai lebih rendah pada 9 sen berbanding 14 sen sebelum ini selepas unjuran penilaian aset bersih dinilai semula (RNAV).

Penganalisisnya, Raymond Yap berkata, AirAsia memerlukan ekuiti pemegang saham sekurang-kurangnya 50% daripada modal saham berbayar (atau sekurang-kurangnya RM40 juta tanpa 'ketidaktentuan material') memandangkan juruauditnya menyatakan 'ketidaktentuan material' dalam laporan audit bagi akaun tahun kewangan 2020 (FY20). 

Katanya, dengan modal saham berbayar sebanyak RM8.5 bilion setakat 30 September 2021, ia bermakna kumpulan memerlukan ekuiti pemegang saham yang minimum sebanyak RM4.2 bilion. 

"Sebagai perbandingan, AirAsia mempunyai kedudukan dana pemegang saham yang negatif sebanyak RM3.2 bilion setakat 30 September 2021, justeru, untuk keluar daripada status PN17 ini, ia memerlukan rangsangan RM7.4 bilion kepada dana pemegang saham secara proforma. 

"Jurang ini adalah sasaran yang bergerak, manakala RM197 juta (20%) daripada RM975 juta sekuriti hutang Islam tidak bercagar boleh tukar boleh tebus (RCUIDS) telah ditukar kepada saham biasa baharu. 

"Namun, kerugian perniagaan yang berterusan sudah tentu akan melebarkan lagi jurang ini," katanya

Menurut Yap, antara langkah yang boleh dilaksanakan AirAsia bagi mengurangkan jurang adalah dengan memperoleh kelulusan pemegang saham dan mahkamah untuk pengurangan modal. 

"Ini bermakna kerugian sebanyak RM5.8 bilion (setakat 30 September 2021) boleh diimbangi berbanding modal saham berbayar sebanyak RM8.5 bilion menjadikan baki modal saham berbayar sebanyak RM2.7 bilion. 

"Menerusi langkah ini, kumpulan akan memerlukan dana pemegang saham sekurang-kurangnya RM1.35 bilion atau 'hanya' ransangan RM4.55 bilion setakat 30 September 2021 untuk keluar daripada status PN17," jelasnya.  

Mengenai langkah pemecahan AirAsia Indonesia (IAA) dan AirAsia Filipina (PAA) pula, Yap menjelaskan, ia hanya boleh dilaksanakan sekiranya kedua-dua syarikat penerbangan ini memperoleh pemegangan saham baharu, di mana AirAsia boleh menyakinkan juruauditnya bahawa ia hanya mempunyai pengaruh yang penting dan bukan kawalan ke atas IAA dan PAA. 

"Tanpa langkah tersebut, AirAsia tidak mungkin memperoleh kelulusan juruaudit untuk melaksanakan pemecahan dalam syarikat penerbangan ini. 

Mengulas lebih lanjut, Yap berkata, sekiranya tidak memperoleh pengurangan modal, AirAsia dijangka bergelut untuk keluar daripada status PN17 dengan jurang RM4.55 bilion yang besar dalam dana pemegang saham. 

Di samping itu, katanya, waran RM650 juta dan RM778 juta dalam baki RCUIDS mungkin tidak akan ditukar kepada saham tidak lama lagi memandangkan harga saham masih di bawah harga penukaran.

"Dalam hal ini, AirAsia mungkin pertimbangkan untuk menjual pegangannya dalam beberapa perniagaan digital sehingga di bawah 50% untuk mendapat manfaat daripada keuntungan penilaian semula nilai saksama.

"Tetapi, hakikatnya perkara ini sukar diramal atau bila ia akan berlaku," tambah beliau. 

 

 

1 Comment