Hajiji lawatan ke Sarawak jumpa Abang Jo, perkukuh hubungan Sabah-Sarawak
19:01 Jan 31, 2022  |  By SabahKini2
Hajiji lawatan ke Sarawak jumpa Abang Jo, perkukuh hubungan Sabah-Sarawak

Hajiji yang merupakan Ketua Menteri Sabah berkata, lawatan itu juga bertujuan untuk meneroka bidang kerjasama baharu antara kedua-dua negeri Borneo sebagai rakan wilayah dalam Persekutuan Malaysia.

Datuk Seri Hajiji Noor bersama-sama pemimpin tertinggi Kerajaan Sabah tiba di Kuching dalam lawatan kerja sehari, bagi memperkukuhkan lagi hubungan erat sedia antara kedua-dua negeri.

Hajiji yang merupakan Ketua Menteri Sabah berkata, lawatan itu juga bertujuan untuk meneroka bidang kerjasama baharu antara kedua-dua negeri Borneo sebagai rakan wilayah dalam Persekutuan Malaysia.

Dalam lawatan sulungnya ke Kuching selaku ketua menteri, beliau telah mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg buat kali pertama selepas beliau mengetuai Gabungan Parti Sarawak (GPS), selain secara peribadi mengucapkan tahniah atas kemenangan besar dalam Pilihan Raya Negeri Ke-12 pada Disember lalu.

"Sabah dan Sarawak mempunyai banyak persamaan dari segi budaya, sejarah serta perjuangan. Oleh itu, terdapat banyak sinergi boleh dimanfaatkan untuk kebaikan kita bersama.

"Sebagai ahli dalam Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, kami telah bekerjasama secara padu untuk mendesak kelulusan Pindaan Perlembagaan Persekutuan 2021 yang berkaitan dengan Perjanjian Malaysia 1963, pada tahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan media, pada Isnin.

Dalam mesyuarat itu yang turut dihadiri anggota Kabinetnya, Tan Sri Abang Johari turut berkongsi pandangannya mengenai beberapa perkara, termasuk hubungan negeri-Persekutuan, keperluan untuk kestabilan politik, hak Sarawak dan pendirian bersama yang boleh diambil oleh Sarawak serta Sabah dalam mendapatkan hak negeri.

Hajiji berkata, beliau dan Abang Johari bukanlah asing, kedua-duanya telah lama berkawan dan merupakan rakan sekerja, berkhidmat sebagai Menteri Perumahan dalam kerajaan terdahulu.

Turut mengiringi Ketua Menteri ialah tiga timbalannya, Datuk Seri Bung Moktar Radin; Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan dan Datuk Dr Joachim Gunsalam; Datuk Amar Douglas Uggah Embas serta Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

 

15 Comments