7 individu ditahan curi kabel
16:02 Feb 03, 2022  |  By SabahKini2
7 individu ditahan curi kabel

Ketua Polis Daerah Tuaran Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, aktiviti suspek dengan berselindung di sebalik ‘vest’ dan kenderaan syarikat kontraktor berdaftar tidak berjaya mengaburi mata pengawal keselamatan TM.

TUARAN: Kegiatan tujuh lelaki mencuri kabel milik Telekom Malaysia Bhd (TM) membawa padah selepas ditahan semasa leka melakukan kegiatan terbabit minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Tuaran Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, kesemua suspek berumur 20 hingga 34 tahun itu menjalankan kegiatan itu kira-kira jam 4 petang di sebuah jalan berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Tajau Termenung.

Beliau turut berkata, aktiviti kesemua suspek dengan berselindung di sebalik ‘vest’ dan kenderaan syarikat kontraktor berdaftar tidak berjaya mengaburi mata pengawal keselamatan TM sebelum bertindak menahan kumpulan terbabit dan menghubungi pihak polis.

“Sebaik menerima maklumat kejadian, sepasukan anggota dan pegawai polis digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan.

“Hasil pemeriksaan mendapati kesemua suspek didapati melakukan pemotongan kabel tembaga sepanjang kira-kira 190 meter.

“Turut dirampas pelbagai peralatan yang digunakan dalam aktiviti mencuri kabel tembaga milik TM berkenaan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran.

Mohd Hamizi berkata, siasatan mendapati semua suspek yang ditahan adalah pekerja di sebuah syarikat sub kontraktor yang bertanggungjawab membuat pemasangan kabel optik Unifi TM.

Katanya dengan tertangkapnya kesemua suspek ini, pihaknya percaya berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnnya lapan kes kecurian yang dilaporkan sebelum ini.

“Polis percaya, rampasan kes kali ini termasuk kabel tembaga dianggarkan bernilai RM25,000 berdasarkan harga pasaran semasa 

“Semua suspek kini ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.

Comment