Ops Bersepadu Perkhidmatan Awam mengeluarkan 18 saman
14:02 Feb 04, 2022  |  By SabahKini2
Ops Bersepadu Perkhidmatan Awam mengeluarkan 18 saman

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun berkata, operasi bermula jam 7 malam itu dijalankan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kontinjen Sabah bersama agensi penguatkuasa lain di Jalan Pintas Tuaran.

KOTA KINABALU: Sejumlah 18 keping saman dikeluarkan terhadap pengguna jalan raya membabitkan pelbagai kesalahan dalam Operasi Bersepadu Kenderaan Perkhidmatan Awam (Bas Ekspress).

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun berkata, operasi bermula jam 7 malam itu dijalankan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kontinjen Sabah bersama agensi penguatkuasa lain di Jalan Pintas Tuaran.

Katanya operasi membabitkan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Sabah, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Imigresen, dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Hasil operasi berjaya mengeluarkan 18 keping saman keseluruhan termasuk tujuh kesalahan tidak mempunyai lesen memandu, sembilan  pengguna jalan masing-masing memandu tanpa perlindungan Insuran, gagal mempamerkan cukai jalan serta menggunakan nombor pendaftaran tidak diluluskan dan dua yang lain tidak menggunakan lampu yang berfungsi dengan baik serta membawa muatan berbahaya.

“Antara kenderaan yang disaman termasuklah tujuh kereta, empat motosikal, tiga pacuan empat roda serta sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV),” katanya sambil menambah sejumlah 170 kenderaan diperiksa dalam operasi ini.

Jauteh berkata daripada 160 lelaki dan 90 wanita yang diperiksa, pihaknya menahan seorang lelaki selepas didapati memandu kenderaan jenis lori dalam keadaan dipengaruhi alkohol. 

Katanya seorang lagi pengguna jalan turut ditahan selepas hasil ujian urine menunjukkan lelaki terbabit positif dadah jenis Methamphetamine.

Dalam pada itu Jauteh berkata operasi dijalankan bagi memastikan pengguna jalan raya sentiasa memandu dalam keadaan berhati-hati bagi mengelakkan kemalangan sepanjang musim perayaan dan selepas tempoh terbabit.

Katanya operasi ini juga adalah antara usaha pihak berkuasa mengesan mana-mana individu atau pemandu kenderaan yang melakukan kesalahan jalanraya dan lain-lain jenayah.

Comment