Kes COVId-19 di Sabah meningkat mendadak kepada 909 kes
18:02 Feb 04, 2022  |  By SabahKini2
Kes COVId-19 di Sabah meningkat mendadak kepada 909 kes

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kali terakhir Sabah merekodkan kes pada paras 900 adalah empat bulan lalu iaitu 30 September 2021.

KOTA KINABALU: Sabah merekodkan 909 kes baharu COVID-19 hari ini dengan empat lagi kluster melibatkan institusi pendidikan dilaporkan.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Masidi Manjun berkata, jumlah kes baharu itu menampakkan peningkatan hampir dua kali ganda berbanding hari sebelumnya.

Katanya, kali terakhir Sabah merekodkan kes pada paras 900 adalah empat bulan lalu iaitu 30 September 2021.

"Satu kluster baharu diisytiharkan di Sandakan yang melibatkan sekolah MRSM Tun Mohammad Fuad Stephens iaitu Kluster Sungai Batang Batu Sepuluh.

"Indeks kes pertama kluster ini telah dikesan melalui saringan bergejala pada 25 Januari 2022. Kes indeks merupakan seorang pelajar perempuan berumur 16 tahun dan mula menunjukkan gejala demam pada hari berkenaan.

"Saringan terhadap kontak rapat mendapati 49 lagi kes positif terdiri daripada pelajar asrama, pelajar harian, guru dan kontak keluarga menjadikan jumlah kumulatif seramai 50 orang," katanya hari ini.

Beliau berkata, semua mereka yang positif adalah dalam Kategori 1 dan 2 (bergejala ringan), diasingkan dan diberikan rawatan yang selanjutnya.

Selain itu katanya, Kluster Jalan Tandek adalah kluster baharu yang melibatkan Sekolah Menengah Kebangsaan Tandek 1 di daerah Kota Marudu.

"Indeks kes merupakan seorang lelaki warganegara 15 tahun dan merupakan pelajar asrama di sekolah tersebut. Kes mula bergejala pada 15 Januari 2022 dan menjalankan saringan pada 17 Januari 2022 serta didapati positif RTK Antigen.

"Saringan terhadap rakan seasrama dan sekelas mendapati seramai 34 lagi kes positif menjadikan jumlah kumulatif kes sebanyak 35 orang. 

"Semua mereka berada  dalam Kategori 1 dan 2 (bergejala ringan), telah diasingkan dan diberi rawatan selanjutnya," katanya.

Sementara itu katanya, Kluster Jalan Taman Beringin di daerah Kota Marudu melibatkan SMK Bandau. 

Katanya, indeks kes merupakan seorang warganegara 17 tahun dan juga pelajar wanita yang menjalani saringan COVID-19 pada 19 Januari 2022 sebelum menjalankan pemeriksaan di Hospital Queen Elizabeth II.

"Saringan PCR mengesahkan pelajar tersebut positif. Seterusnya saringan ke atas kontak rapat mendapati 24 orang lagi didapati positif. Mereka terdiri terdiri daripada pelajar asrama, pelajar harian dan kakitangan sekolah.

"Semua mereka adalah dalam Kategori 1 dan 2 (bergejala ringan), telah diasingkan dan diberikan rawatan yang selanjutnya," katanya.

Masidi berkata, Kluster Jalan Pendidikan Ranau pula adalah kluster yang melibatkan SMK Mat Salleh, Ranau. 

Menurutnya, indeks kes adalah seorang lelaki 19 tahun dan merupakan seorang pelajar Tingkatan 6 di sekolah tersebut. 

"Indeks kes mula bergejala pada 29 Januari 2022 dan telah melakukan ujian saringan kendiri dan didapati positif.

"Sekolah dimaklumkan pada hari yang sama dan pelajar itu terus dikuarantin. Saringan pada 31 Januari 2022 mengesahkan pelajar itu positif.

"Saringan terhadap rakan sebilik, seasrama serta rakan sekelas mendapati 24 orang lagi positif dan menjadikan jumlah kumulatif kes positif sehingga 4 Februari 2022 seramai 25 orang.

"Kesemua pesakit dikategorikan dalam Kategori 1 dan 2 (gejala ringan), telah diasingkan dan diberikan rawatan selanjutnya," katanya.

Dalam pada itu katanya, hari ini terdapat tiga daerah mencatatkan kes tiga angka. Daerah Sandakan mencatatkan angka tertinggi dengan 185 kes (+92), diikuti oleh Penampang dengan 115 kes (+44) dan Kota Kinabalu 101 kes (+24).

Katanya, jangkitan yang berpunca daripada kes bergejala di ketiga-tiga daerah ini juga tinggi iaitu Sandakan 70 kes, Penampang 38 kes dan Kota Kinabalu 56 kes.

"Sejumlah 16 daerah mencatatkan kes dua angka, antaranya Tuaran 86 kes (+42), Lahad Datu 57 kes (+40), Beaufort 57 kes (+39), Kota Marudu 53 kes (+37) dan Papar 36 kes (+27). 

"Hanya empat daerah mencatatkan kes satu angka dan empat daerah lagi tidak mencatatkan sebarang kes baru. Hampir seluruh daerah di Sabah mencatatkan peningkatan kes dengan 10 daripadanya mencatatkan peningkatan pada kadar dua angka.

"Sejumlah 900 daripada 909 kes hari ini adalah dalam Kategori 1 dan 2. Terdapat lima kes dalam Kategori 3, tiga kes dalam Kategori 4 dan satu kes dalam Kategori 5," katanya.

1 Comment