Dua nelayan dikuatiri hilang ketika memukat ikan
14:02 Feb 08, 2022  |  By SabahKini2
Dua nelayan dikuatiri hilang ketika memukat ikan

Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Norrimi Hassan berkata, pasukan Zon Maritim Semporna segera mengaktifkan Op CARILAMAT bagi mengesan mangsa setelah menerima laporan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna.

SEMPORNA: Dua nelayan dilaporkan hilang ketika menjalankan aktiviti memukat ikan di perairan Pulau Bohey Dulang, semalam.

Mangsa, Wleson@Jukno, 30, dan Osman Palik, 28, dilaporkan menjalankan aktiviti hariannya memukat ikan awal pagi.

Kejadian disedari oleh keluarga mangsa selepas gagal menghubungi mereka kira-kira jam 12.40 tengah hari sebelum membuat laporan polis.

Susulan itu, pasukan Zon Maritim Semporna segera mengaktifkan Op CARILAMAT bagi mengesan mangsa setelah menerima laporan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna.

Pengarah Zon Maritim Semporna, Komander Maritim Norrimi Hassan berkata, dua bot peronda Maritim dan sebuah bot Pasukan Polis Marin (PPM) diatur gerak ke lokasi kejadian.

“Pasukan keselamatan melaksanakan usaha pencarian awal di lokasi kejadian dan kawasan sekitar perairan Semporna.

“Bagaimanapun, hari pertama operasi gagal menunjukkan sebarang tanda penemuan sebelum ditangguhkan pada jam 6 petang,” katanya hari ini.

Katanya, operasi hari kedua disambung semula pada jam 7 pagi tadi dengan meluaskan kawasan pencarian di sekitar perairan.

“Kami mengalu-alukan maklumat daripada semua komuniti maritim untuk melaporkan sebarang maklumat berkaitan kes ini kepada Pusat Operasi Zon Maritim Semporna di talian 089-782619.

“Maklumat lanjut berkaitan operasi ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Comment