Masyarakat cina terus beri sokongan padu kepada kerajaan- Tangau
16:02 Feb 10, 2018  |  By SabahKini2
Masyarakat cina terus beri sokongan padu kepada kerajaan- Tangau

Tangau menyerahkan replika cek sebanyak RM50,000 kepada MCA Tuaran Chua Sheng Kian bagi pihak persatuan Cina, kuil dan sekolah di Tuaran

Tangau mengucapkan terima kasih kepada pemimpin parti-parti komponen BN dan juga para Kapitan Cina yang sudi menemani beliau dalam program 'walkabout' sempena Tahun Baru Cina

TUARAN: 24 Persatuan kaum Cina di daerah ini tersenyum lebar apabila mereka menerima 'ang pow' lebih awal daripada Datuk Seri Wilfred Madius Tangau di sini, jumaat.

Pemimpin UPKO itu memulakan sambutan perayaan Tahun Baru Cina kali ini dengan pelbagai bentuk sumbangan dengan jumlah keseluruhan RM50,000 yang diberikan kepada pelbagai persatuan termasuk 8 kumpulan tarian singa serta 3 kumpulan tarian naga yang terpilih.

Tangau yang merupakan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia itu berkata, sumbangan tersebut adalah tanda penghargaannya atas sumbangan besar masyarakat Cina dalam aspek pembangunan ekonomi di daerah ini khasnya dan juga di seluruh negara amnya.



Beliau begitu gembira kerana untuk sekian lamanya, masyarakat Cina di daerah ini terbukti cukup 'supportive' dan sentiasa memberikan sokongan padu kepada apa jua program yang dibuat oleh kerajaan.

Bercakap pada perjumpaan bersama persatuan-persatuan dan juga pemimpin masyarakat kaum Cina yang diadakan di Restoran Gayang itu, beliau berkata:

"Kita patut bersyukur dengan keamanan dan keharmonian yang dapat kita nikmati sekarang ini kerana ia telah membuka pelbagai peluang yang membolehkan kita untuk terus menjalani kehidupan dan berniaga seperti biasa di sini, walaupun berhadapan dengan keadaan ekonomi global yang cukup mencabar"

Menurutnya lagi, ekonomi negara bertumbuh dengan baik dan sedang menuju ke arah yang betul. Antara buktinya ialah setiap hari kita dapati nilai Ringgit semakin mengukuh berbanding dolar AS.

Tangau juga menyatakan bahawa terdapat peningkatan ketara terhadap jumlah pelancong yang datang ke Sabah dari negara China, yang mana menurut beliau adalah antara hasil daripada hubungan baik yang terjalin antara kepimpinan tertinggi kedua-dua negara.

Sementara itu, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada pemimpin parti-parti komponen BN dan juga para Kapitan Cina yang sudi menemani beliau dalam program 'walkabout' sempena Tahun Baru Cina yang dibuat di Tenghilan dan Tamparuli pada hari Khamis yang lalu, dan juga di Tuaran pada hari Jumaat.

Antara yang turut hadir di perjumpaan itu ialah Pemimpin Pembangunan Masyarakat Tamparuli, Datuk Jahid Jahim, Ketua MCA Tuaran, Chua Sheng Kian, Ketua LDP Tuaran, Datuk Alex Lo, Ketua PBRS Tamparuli, Henry Luaran, serta Jamlin Ladin yang hadir mewakili UMNO Tuaran, dan juga barisan  kepimpinan kaum/komuniti Cina daerah ini.

Comment