Mayat lelaki ditemui di bawah rumah atas air
16:02 Feb 14, 2022  |  By SabahKini2
Mayat lelaki ditemui di bawah rumah atas air

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Jimmy Lagung berkata, mayat lelaki dipercayai berumur 31 tahun, ditemui oleh penduduk Kampung Cenderamata Karamunting. Pihak polis menerima laporan tentang kejadian itu pada jam 11.17 pagi.

SANDAKAN: Seorang lelaki ditemukan meninggal dunia di bawah rumah atas air di Kampung Cenderamata Karamunting, pagi tadi.

Mayat lelaki berumur 31 tahun itu, ditemukan penduduk kampung berkenaan sebelum laporan dibuat kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sandakan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Jimmy Lagung berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 11.17 pagi.

Katanya, sepasukan enam anggota dan pegawai bersama sebuah jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi operasi membantu mengambil mayat tersebut.

“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati mayat seorang lelaki berada di bawah rumah atas air dan tindakan segera mengambil mayat tersebut dilakukan.

“Pasukan bomba terpaksa menggunakan pakaian pelindung diri (PPE) semasa operasi mengambil mayat tersebut bagi mengelak jangkitan wabak COVID-19,” katanya dalam kenyataan media.

Menurutnya, mayat tersebut kemudiannya dibawa ke Hospital Duchess Of Kent (DOK) untuk dibedah siasat dan kes diserahkan kepada PDRM.

“Pasukan bomba menjalankan pemeriksaan akhir bagi memastikan kawasan kejadian selamat untuk penduduk di kampung berkenaan sebelum operasi ditamatkan pada jam 12.48 tengah hari,” katanya.

Comment