Seramai 2,869 penduduk Tawau masih menjalani kuarantin
15:02 Feb 15, 2022  |  By SabahKini2
Seramai 2,869 penduduk Tawau masih menjalani kuarantin

Penyelia Pusat Kuarantin Tawau, Kapten (APM) Hussien Mohd Nor berkata, semua mereka dikuarantin selepas disahkan positif COVID-19 dan kontak rapat terutamanya pelajar sekolah.

TAWAU: Seramai 2,869 orang penduduk di daerah Tawau sedang menjalani kuarantin sejak berlakunya peningkatan jangkitan wabak COVID-19 awal bulan ini.

Penyelia Pusat Kuarantin Tawau, Kapten (APM) Hussien Mohd Nor berkata, semua mereka dikuarantin selepas disahkan positif COVID-19 dan kontak rapat terutamanya pelajar sekolah.

Katanya, setakat ini seramai 91 orang ditempatkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Risiko Rendah (PKRC) Kompleks sukan Tawau.

“Daripada jumlah itu, seramai 42 orang adalah pelajar sekolah daripada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuhara, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan Kolej Vokasional.

“Manakala 2,777 orang lagi dikenakan kuarantin di rumah masing-masing dan seorang di Hotel,” katanya semalam.

Menurutnya, kebanyakkan mereka yang dikuarantin ketika ini adalah yang berisiko rendah dan tidak bergejala.

Sementara itu, Hussien berkata PKRC Kompleks Sukan dibuka semula pada 1 Febuari lalu disebabkan peningkatan jangkitan kes di seluruh negara termasuk daerah Tawau.

“Pusat Kuarantin Institut Pendidikan Guru (IPG) Tawau dan Institut Latihan Kementeraian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Tawau pula masih ditutup sehingga kini.

“Seramai 12 petugas ditempatkan di PKRC Kompleks Sukan iaitu empat kakitangan Kementerain Kesihatan Malaysia (KKM) dan lapan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya.

Hussien turut menasihatkan semua masyarakat di daerah ini supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 yang telah ditetapkan dan menjaga kesihatan diri masing-masing.

“Elakkan berkumpul ramai-ramai dan keluar tanpa sebarang keperluan yang mendesak supaya penularan wabak COVID-19 dapat dielakkan,” katanya.

Comment