Pasukan QRF berjaya menahan 10 PTI di Tawau
16:02 Feb 15, 2022  |  By SabahKini2
Pasukan QRF berjaya menahan 10 PTI di Tawau

Komander ATB 2, Brigadier Jeneral Abdul Karim Ahmad berkata, kesemua PTI yang baru mendarat berjaya ditemukan sedang bersembunyi di kandang kambing bagi mengelak ditahan pasukan keselamatan. Hasil pemeriksaan, kesemua mereka yang terdiri lapan lelaki dan

TAWAU: Seramai 10 Pendatang Tanpa Izin (PTI) yang baru mendarat di daerah ini berjaya ditahan dalam satu serbuan berhampiran jeti pemunggahan balak di Kampung Hidayat, awal pagi semalam.

Kesemua PTI terbabit ditahan oleh pasukan Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB 2) ketika sedang bersembunyi di kandang kambing kira-kira jam 5.50 pagi.

Komander ATB 2, Brigadier Jeneral Abdul Karim Ahmad berkata, kejayaan tangkapan itu adalah hasil risikan pasukan Quick Reaction Force (QRF) menerusi Op Benteng Bersama.

Katanya, pasukan QRF mengesan dua bot laju sarat dengan muatan dalam keadaan mecurigakan telah mendarat di jeti berkenaan.

“Bagaimanapun, kedua-dua bot berkenaan dipercayai telah berpatah balik ke sempadan perairan negara selepas menurunkan kesemua penumpannya.

“Pasukan QRF segera melakukan serbuan di lokasi tersebut bagi mengesan keberadaan semua penumpang bot yang baru mendarat,” katanya.

Menurutnya, kesemua PTI terbabit berjaya ditemukan sedang bersembunyi di kandang kambing bagi mengelak ditahan pasukan keselamatan.

“Hasil pemeriksaan, kesemua mereka yang terdiri lapan lelaki dan dua wanita berumur 19 hingga 51 tahun itu tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Mereka juga mengaku berasal dari negara jiran dan masuk ke daerah ini secara haram untuk mencari pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata, PTI terbabit memaklumkan perjalanan mereka diatur oleh tekong di negara jiran sehingga sampai ke daerah ini sebelum disambut oleh tekong darat di Tawau.

“Pasukan QRF segera melaporkan mengenai tangkapan tersebut kepada Pusat Operasi Wilayah Bersama (POWB) berpusat di MK ATB 2.

“Kesemua PTI terbabit kemudiannya ditahan dan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan selanjutnya.

“Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tinggal atau berada di Malaysia tanpa permit yang sah,” katanya.

Abdul Karim menzahirkan ucapan tahniah kepada semua yang terlibat dalam pelaksanaan operasi berkenaan sehingga berjaya menggagalkan kemasukan PTI ke negara ini.

“Kejayaan ini membuktikan pasukan keselamatan daripada pelbagai agensi sentiasa komited terhadap kawalan keselamatan persempadanan negara.

“Sempadan negara sentiasa dikawal dan ditangani secara serius dalam mengekang jenayah rentas sempadan serta sebarang ancaman keselamatan khasnya di Pantai Timur Sabah,” katanya.

Comment