Wanita rentung dalam kebakaran di Tambunan
14:02 Feb 22, 2022  |  By SabahKini2
Wanita rentung dalam kebakaran di Tambunan

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambunan Penolong Penguasa Bomba (PPB) Desmond Micky @ Dominic berkata, mangsa yang berumur 30 tahun itu ditemukan di bahagian ruang tamu rumah berkenaan, manakala penghuni rumah yang lain selamat tanpa sebarang kece

TAMBUNAN: Mayat seorang wanita ditemukan rentung selepas terperangkap dalam kebakaran membabitkan sebuah rumah di Kampung Tikolod.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambunan Penolong Penguasa Bomba (PPB) Desmond Micky @ Dominic berkata, kejadian terbabit berlaku kira-kira jam 12 tengah malam tadi.

Menurutnya, mangsa yang berumur 30 tahun itu ditemukan di bahagian ruang tamu rumah berkenaan, manakala penghuni rumah yang lain selamat tanpa sebarang kecederaan.

Katanya, rumah terbabit didiami seramai 10 orang termasuk mangsa.

"Pada awalnya, ahli keluarga mangsa menganggap semua penghuni selamat keluar menyelamatkan diri.

"Bagaimanapun, mereka mula menyedari ketiadaan mangsa dan meminta pihak bomba menjalankan pemeriksaan.

"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati mayat mangsa berada di bahagian ruang tamu dipercayai terperangkap akibat kebakaran," katanya.

Beliau berkata, setakat ini punca kebakaran masih dalam siasatan dan kejadian itu mengakibatkan rumah berkenaan musnah keseluruhannya.

Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 12.25 tengah malam dan bergegas ke lokasi kejadian pada jarak 20 kilometer.

"Operasi pemadaman menggunakan satu aliran sepanjang 200 kaki dengan dua pancutan serta satu aliran salur bantu mula melalui sumber air dari tangki jentera dan juga pili bomba terdekat.

"Api berjaya dikawal pada jam 1.30 pagi dan operasi pemadaman tamat sepenuhnya pada jam 1.45 pagi," jelasnya.

Comment