PDRM keluarkan 7 kompaun langgar SOP COVID-19 di Sabah
15:02 Feb 23, 2022  |  By SabahKini2
PDRM keluarkan 7 kompaun langgar SOP COVID-19 di Sabah

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kompaun terbabit melibatkan enam individu yang gagal memakai pelitup muka dan satu individu melanggar perintah kuarantin.

KOTA KINABALU: Sebanyak tujuh kompaun melanggar prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh Sabah.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kompaun terbabit melibatkan enam individu yang gagal memakai pelitup muka dan satu individu melanggar perintah kuarantin.

Katanya, berdasarkan laporan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), sebanyak 790 premis perniagaan diperiksa.

"Tiada kompaun, notis atau amaran dikeluarkan oleh PBT, manakala Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) turut menjalankan Operasi Pematuhan SOP ke atas 258 premis perniagaan dan 318 individu membabitkan 18 kawasan.

"Hasil operasi pematuhan SOP itu, tiada kompaun dikenakan ke atas individu dan premis," katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Dalam pada itu beliau berkata, setakat ini Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) Sabah berjaya melaksanakan pemberian vaksin kepada 30,614 kanak-kanak daripada 411,400 kanak-kanak berumur antara lima hingga 11 tahun yang layak divaksin.

Menurutnya, sejumlah 472 kes daripada kes keseluruhan semalam melibatkan kanak-kanak bawah 11 tahun dengan 202 kes adalah kanak-kanak yang belum layak mendapat vaksin iaitu yang berumur di bawah lima tahun.

Comment