Harga sawit pecah rekod tertinggi
18:02 Feb 25, 2022  |  By SabahKini2
Harga sawit pecah rekod tertinggi

Penganalisis RHB Investment Bank, Hoe Lee Leng, berkata konflik di Eropah itu menyebabkan harga minyak mentah melepasi AS$100 setong, manakala harga hadapan MSM meningkat mengatasi RM6,500 satu tan.

KUALA LUMPUR: Harga hadapan minyak sawit mentah (MSM) terus mencecah paras tertinggi baharu, apabila risiko geopolitik yang menjadi realiti perang menyebabkan harga sebahagian komoditi global terus meningkat ke tahap lebih tinggi.

Penganalisis RHB Investment Bank, Hoe Lee Leng, berkata konflik di Eropah itu menyebabkan harga minyak mentah melepasi AS$100 setong, manakala harga hadapan MSM meningkat mengatasi RM6,500 satu tan.

"Memandangkan kami tidak mengetahui tahap pencerobohan ini dan berapa lama ia akan berlaku, kami belum lagi menyemak naik unjuran harga MSM.

"Bagaimanapun, kami meningkatkan wajaran sektor ini kepada 'neutral', memandangkan kesannya terhadap harga komoditi dan juga perolehan serta penilaian syarikat perladangan.

"Kami mengakui bahawa saranan yang dibuat bagi 2022 setakat ini adalah silap, memandangkan perkembangan yang tidak diduga ini," katanya.

Kontrak niaga hadapan MSM di Bursa Malaysia Derivatives melonjak untuk ditutup tinggi selepas berita mengenai pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.

Pada penutup dagangan semalam, kontrak niaga hadapan MSM bagi Mac 2022 meningkat RM739 kepada RM7,093 setan metrik.

RHB Investment Bank baru-baru ini menaikkan unjuran purata harga MSM kepada RM4,300 satu tan bagi 2022 berbanding RM3,700 satu tan sebelumnya dan RM3,600 bagi 2023 berbanding RM3,000 sebelum ini.

Sementara itu, pedagang minyak sawit, David Ng, berkata harga niaga hadapan MSM terus mencatatkan satu lagi rekod tertinggi apabila minyak kacang soya mencecah had tertinggi semasa waktu dagangan Asia ketika Rusia mengisytiharkan perang ke atas Ukraine, menyebabkan lonjakan dalam pasaran tenaga dan bijirin.

"Ini seterusnya mendorong sentimen dalam pasaran minyak sawit. Kami mengesan paras sokongan pada RM6,000 dan paras rintangan pada RM6,500 satu tan metrik," katanya.

Kontrak niaga hadapan MSM bagi April 2022 meningkat RM694 kepada RM6,786 satu tan metrik, Mei 2022 menokok RM618 kepada RM6,458 satu tan metrik, dan Jun 2022 naik RM551 kepada RM61,75 satu tan metrik.

Kontrak Julai 2022 melonjak RM502 kepada RM5,938 satu tan metrik dan Ogos 2022 naik RM472 kepada RM5,750 satu tan metrik.

Comment