Malaysia perlu tegas isu pencerobohan, elak jadi seperti Ukraine
00:02 Feb 28, 2022  |  By SabahKini2
Malaysia perlu tegas isu pencerobohan, elak jadi seperti Ukraine

Bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, berdasarkan isu geopolitik yang berlaku di perairan negara ini termasuk pencerobohan yang semakin kerap dilakukan negara kuasa besar, tidak mustahil Malaysia akan berhadapan nasib yang sama seperti Ukrai

KOTA KINABALU: Kerajaan Malaysia perlu menyatakan pendirian tegas bagi mengecam pencerobohan yang sedang berlaku di Ukraine.

Kerajaan tidak boleh sekadar menyokong pendirian negara lain sebaliknya, perlu menggesa semua pihak berhenti melakukan pencerobohan serta melakukan rundingan damai.

Bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, berdasarkan isu geopolitik yang berlaku di perairan negara ini termasuk pencerobohan yang semakin kerap dilakukan negara kuasa besar, tidak mustahil Malaysia akan berhadapan nasib yang sama seperti Ukraine.

Maka, kerajaan perlu tegas terhadap isu pencerobohan yang berlaku di perairan negara ini.

“Saya amat prihatin dengan ketegangan yang sedang berlaku di Ukraine dan saya berpegang kepada kepercayaan bahawa keganasan hanya akan menyebabkan ramai orang menderita.

“Jika dilihat pesawat MH17 juga ditembak jatuh ketika melalui ruang udara timur Ukraine dan bangkai kapal terjatuh di kawasan Donetsk dan tragedi itu mengakibatkan kesedihan terhadap ramai pihak.

“Saya percaya ketegangan yang berlaku antara Rusia dan Ukraine ketika ini akan mengakibatkan penderitaan kepada ramai orang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Di samping itu katanya, Malaysia perlu meningkatkan keselamatan infrastruktur siber bagi berhadapan kemungkinan berlaku serangan siber seperti yang dilakukan Rusia untuk menyebarkan maklumat tidak tepat. Situasi itu menimbulkan kebimbangan akan tercetus perang digital.

Presiden Parti Cinta Sabah (PCS) itu berkata, memandangkan Malaysia kini sedang beralih kepada teknologi 5G maka, aspek keselamatan siber perlu dipertingkatkan.

Sebahagian penyedia teknologi 5G didakwa mempunyai hubungan dengan negara kuasa besar yang menceroboh perairan negara dan menjejaskan kehidupan rakyat.

Jelas beliau, keselamatan siber berkait rapat dengan sektor kewangan, pengangkutan, ketenteraan dan infrastruktur kritikal lain maka, infrastruktur keselamatan digital di negara ini perlu diperkukuhkan.

Mengulas lanjut katanya, kerajaan juga perlu memberi keutamaan bagi melindungi sempadan perairan Sabah daripada diceroboh negara asing. Tiada toleransi perlu diberikan terhadap mana-mana pihak yang mengancam kedaulatan negara.

“Justeru, kerajaan perlu mengambil langkah tambahan untuk melindungi sempadan negara terutama di Sabah untuk memastikan keselamatan wilayah ini sentiasa terpelihara,” katanya-UM

 

Comment