Fenomena salji turun di Gunung Kinabalu
16:02 Feb 28, 2022  |  By SabahKini2
Fenomena salji turun di Gunung Kinabalu

Video rakaman kejadian yang berlaku kira-kira jam 7.18 pagi itu sempat direkodkan oleh Malim Gunung yang juga pelatih laluan Via-Ferrata Hajiri Sulumin, 47, sebelum tular di laman Facebook

RANAU: Walaupun berlaku hanya sekitar dua minit, namun fenomena salji turun di kawasan Gunung Kinabalu hari ini menggemparkan beberapa pendaki yang sempat merakamkan kejadian itu.

Video rakaman kejadian yang berlaku kira-kira jam 7.18 pagi itu sempat direkodkan oleh Malim Gunung yang juga pelatih laluan Via-Ferrata Hajiri Sulumin, 47, sebelum tular di laman Facebook.

Beliau ketika dihubungi berkata, fenomena salji kali ini adalah pengalaman keduanya selepas menyaksikan kejadian pertama pada 2018.

Menurutnya, semasa kejadian berlaku, beliau berada di kawasan pusat pemeriksaan (check point) Sayat-Sayat.

Beliau juga yakin, fenomena itu sememangnya salji memandangkan keadaannya yang ringan berbanding ketulan ais yang lebih berat.

Penolong Pengarah Taman Kinabalu Justinus Guntabid berkata, fenomena berkenaan adalah pembekuan (frozen) yang berlaku apabila tahap suhu lebih lembap dari biasa.

Katanya, purata suhu di kawasan berkenaan bermula jam 2 hingga 10 pagi kira-kira 6.9 hingga 12.3 darjah celsius, lebih sejuk dari biasa.

"Tetapi ini bacaan suhu di kawasan Panalaban dan kalau di atas suhu lebih sejuk.

"Purata kelembapan sekitar 52 hingga 62 peratus dan ini lebih lembap dari yang biasa iaitu 70 peratus purata kelembapan," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan rekod sebelum ini, salji turun pernah direkodkan berlaku di kawasan puncak Gunung Kinabalu pada 1975 dan yang terakhir pada 1993. 

Selain itu jelasnya, beberapa tahun sebelum ini ada dikatakan berlakunya fenomena salji namun sebenarnya ia hanya proses pembekuan.

Justinus turut menganggap kumpulan pendaki yang berada di puncak Gunung Kinabalu yang menyaksikan kejadian itu sebagai bertuah memandangkan fenomena berkenaan jarang berlaku.

Comment