NAFAS meterai MoU bernilai RM100 juta di Dubai
17:02 Feb 28, 2022  |  By SabahKini2
NAFAS meterai MoU bernilai RM100 juta di Dubai

Majlis menandatangani MoU yang diadakan di Dubai, UAE pada Sabtu lalu, disempurnakan oleh Ahli Jemaah Pengarah NAFAS, Datuk Sylvester Entri Muran. ARJ Holding pula oleh Presiden Kumpulannya, Ahmad Sahab Ramadhan Juma.

KOTA KINABALU: Pertubuhan Peladang Kebangsaan NAFAS menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bernilai RM100 juta bersama ARJ Holding L.L.C.

Ia merupakan salah sebuah syarikat terbesar berpengkalan di Dubai, UAE. MoU bertujuan untuk mengadakan usaha sama dalam perniagaan ternakan ruminan, perdagangan minyak masak dan pembuatan selulos dari bahan biomass. 

Majlis menandatangani MoU yang diadakan di Dubai, UAE pada Sabtu lalu, disempurnakan oleh Ahli Jemaah Pengarah NAFAS, Datuk Sylvester Entri Muran. ARJ Holding pula oleh Presiden Kumpulannya, Ahmad Sahab Ramadhan Juma.

Perjanjian ini disaksikan oleh Ahli Jemaah Pengarah NAFAS merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan NAFAS, Haji Mohammad Bahrin Abd Karim.

Turut hadir Kaunselor Pejabat Perwakilan Pertanian (Dubai UAE), Mohd Zahirul Naqi Shoaib, Pengurus Kanan Pengurusan Perniagaan Baharozaman Mohid dan Pengurus Bahagian Pemasaran dan Promosi, Mohammad Fauzie Tamin.
 
Entri berkata kerjasama itu antara lain dapat menjalinkan hubungan perniagaan bagi memacu pertanian lestari antara dua negara dan juga titik permulaan ‘peluang perniagaan’ secara besar-besaran melalui teknologi-teknologi terkini.

“NAFAS percaya kerjasama sebegini akan digunakan untuk faedah bersama ARJ Holding dan menyumbang kepada penambahbaikan aktiviti yang dipersetujui,” katanya. 

Entri berkata, NAFAS dan ARJ Holding akan menyediakan pengaturan terperinci dalam mengenal pasti tanggungjawab masing-masing untuk melaksanakan perjanjian yang terdiri daripada perbincangan, perancangan strategi pelaburan dan pelaksanaan aktiviti pelaburan selepas pemeteraian MoU ini.

"Kedua-dua syarikat akan berusaha untuk membantu dan menyokong satu sama lain untuk skop kerjasama MoU ini yang akan memberi manfaat bersama kedua-dua pihak dan juga Malaysia dan UAE.

"NAFAS akan berusaha dan mengambil langkah bagi menggalakkan kerjasama dalam menjalankan aktiviti pelaburan yang menguntungkan dan meningkatkan sinergi antara kedua-dua pihak mengikut kesesuaian semasa,” katanya.

Majlis pemeteraian MoU itu diadakan bersempena Minggu Pertanian Lestari Malaysia di Expo 2020 Dubai.

NAFAS berada di Dubai sempena Ekspo 2020 Dubai dari 20 Februari hingga 26 Februari di Pavilion Malaysia yang dihoskan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dengan Malaysian Bioeconomy Development Corporation (Bioeconomy Corporation) sebagai agensi pelaksana. 

Comment