Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambunan Desmond Micky @ Dominic berkata kejadian jam 12.12 tengah hari itu melibatkan seorang mangsa lelaki berumur 33 tahun
TAMBUNAN: Seorang lelaki patah di bahagian kaki selepas kereta dinaiki terbabas di bahu jalan di Kampung Kiriokot semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambunan Desmond Micky @ Dominic berkata kejadian jam 12.12 tengah hari itu membabitkan seorang mangsa lelaki berumur 33 tahun.
“Ketika kejadian kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dinaiki mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas sendiri di bahu jalan.
“Pasukan bomba segera ke lokasi sebaik mendapat panggilan kecemasan dan menjalankan operasi mengeluarkan mangsa dari kenderaan menggunakan peralatan khas kebombaan,” katanya.
Menurutnya mangsa yang mengalami patah kaki itu berjaya dikeluarkan dan diberikan rawatan awal oleh Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) di lokasi kejadian.
“Mangsa kemudiannya dihantar ke hospital menaiki jentera EMRS untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.
“Operasi ditamatkan jam 1.31 petang selepas pasukan bomba menjalankan pemeriksaan dan memastikan tiada unsur bahaya lain di lokasi,” katanya.