Tidak tukar 'Premier', panggilan Ketua Menteri sudah cukup baik kata Hajiji
10:03 Mar 02, 2022  |  By SabahKini2
Tidak tukar 'Premier', panggilan Ketua Menteri sudah cukup baik kata Hajiji

Sabah belum bercadang untuk mengikut langkah Sarawak menukar gelaran Ketua Menteri kepada “Premier” Gelaran KM sudah cukup baik

Sabah belum bercadang untuk mengikut langkah Sarawak menukar gelaran Ketua Menteri kepada “Premier”, kata Ketua Menteri, Hajiji Noor.

“Sabah belum ada cadangan itu. Saya ingat panggilan Ketua Menteri itu pun setakat ini cukup baik,” katanya ringkas selepas melancarkan Bantuan e-Kasih Dana Caruman i-Suri (BAIDURI) di Menara Kinabalu.

Terdahulu, gelaran Ketua Menteri Sarawak secara rasmi ditukar kepada “Premier” mulai semalam

Setiausaha Kerajaan Sarawak, Amar Jaul Samion dilaporkan berkata, gelaran bagi Timbalan Ketua Menteri ditukar kepada Timbalan Premier, manakala Menteri Muda pula kepada Timbalan Menteri.

Dalam perkembangan lain, Hajiji yang juga Menteri Kewangan Sabah berkata, seramai 42,097 wanita mendapat manfaat daripada inisiatif BAIDURI yang membabitkan peruntukan RM2.5 juta.

Katanya, BAIDURI adalah bantuan “one-off” berjumlah RM60 yang diberikan oleh kerajaan negeri dalam bentuk dana awal caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada wanita dalam kategori e-Kasih disasarkan.

“Dengan melaksanakan inisiatif BAIDURI ini, kerajaan negeri memberi peluang wanita e-Kasih mendapat manfaat sebanyak RM480 seorang daripada kerajaan persekutuan melalui KWSP.

“Saya berharap pelaksanaan inisiatif ini memberi peluang kepada wanita, terutama suri rumah untuk menceburi bidang perniagaan dan membantu mereka menikmati keselamatan sosial berkualiti, selain meningkatkan keselamatan kewangan seperti yang dinikmati ahli KWSP lain.”

 

4 Comments