Tim Leissner petik nama Tengku Zafrul kes 1MDB di Mahkamah Persekutuan New York
17:03 Mar 03, 2022  |  By SabahKini2
Tim Leissner petik nama Tengku Zafrul kes 1MDB di Mahkamah Persekutuan New York

Selepas Rohana dan beberapa wanita dikaitkan dengan Tim Leissner kini nama Tengku Zafrul sebagai bekas Pengarah Kumpulan dan ahli Jawatankuasa Pengurusan Eksekutif Kenanga Holdings Berhad 2009-2010 juga disebut dalam kes 1MDB. Apa sebenarnya?

Perbicaraan kes 1MDB di Mahkamah Persekutuan New York membuka lembaran baru apabila Tim Leissner bekas pengurus bank Goldman Sachs memetik nama Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz dalam testimoni yang dikaitkan dengan skandal 1MDB melibatkan Roger Ng.

Leissner saksi dalam perbicaraan itu menceritakan kepada Mahkamah Persekutuan New York tentang satu mesyuarat peringkat tinggi mengenai Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) yang kemudiannya menjadi 1MDB.

Leissner mengambil maklum satu emel daripada Ng berhubung satu mesyuarat TIA pada 2009.

Dalam emel itu, Ng memaklumkan selain dirinya individu lain yang akan menyertai mesyuarat itu ialah Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin; ahli perniagaan dikehendaki, Low Taek Jho; Pengarah Urusan Kumpulan Kenanga Investment Bank, Ramli Ismail dan Tengku Zafrul, yang ketika itu merupakan pengarah di Kenanga.

Leissner dalam testimoninya berkata, Ng memberitahu bahawa tujuan mesyuarat itu adalah supaya Sultan Mizan bertemu orang “daripada bank-bank”.

Menurut Leissner, Low adalah penasihat kepada Sultan Mizan dan membuat beberapa keputusan penting di TIA.

Beliau juga mendedahkan bahawa Low memainkan peranan penting dalam menarik Goldman Sachs untuk terlibat dengan TIA.

Semakan menunjukkan Menteri Kewangan Tengku Zafrul merupakan Pengarah Kumpulan dan ahli Jawatankuasa Pengurusan Eksekutif Kenanga Holdings Berhad dari Januari 2009 hingga Jun 2010. 

Pada bulan Jun 2010, Tengku Zafrul dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif di  Maybank Investment Bank Bhd. dan melepaskan kesemua pelantikannya sebagai eksekutif dan pengarah di dalam Kumpulan Kenanga. 

Bagaimanapun dalam satu kenyataan Tengku Zafrul menafikan hadir dalam mesyuarat itu.

 

Comment