Norhaili saksi kes Bung Moktar mengaku beri keterangan bercanggah kerana tertekan dengan SPRM
22:03 Mar 03, 2022  |  By SabahKini2
Norhaili  saksi kes Bung Moktar mengaku beri keterangan bercanggah kerana tertekan dengan SPRM

Saksi mengaku keterangan bercanggah. Namun semua itu kerana dia dalam keadaan tertekan, takut dan kali pertama disiasat SPRM. Saksi menjadi murung kerana dianggap salah.

KUALA LUMPUR: Saksi utama dalam kes rasuah dihadapi Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, mengaku memberi keterangan bercanggah di mahkamah, berbanding kenyataannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika siasatan.

Perunding Unit Amanah, Norhaili Ahmad Mokhtar, 45, bagaimanapun menafikan dia berbohong dan mereka-reka cerita serta menafikan tindakannya itu untuk menyelamatkan Bung Moktar dan isterinya yang juga pelakon, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad.

Percanggahan itu membabitkan keterangan Norhaili di mahkamah bahawa Bung Moktar tidak pernah meminta rasuah RM3.5 juta pada 4 Mei 2015 di Hotel Intercontinental Kuala Lumpur sedangkan beliau memberitahu SPRM tertuduh meminta rasuah.

Selain itu, saksi pendakwaan ke-25 itu ketika perbicaraan, memberitahu mahkamah bahawa wang RM2.8 juta yang diberikan kepada Zizie Izette adalah wang pengenalan, sebaliknya beliau memberitahu SPRM di pejabat agensi itu ketika siasatan bahawa wang berkenaan adalah rasuah.

Berikutan percanggahan material itu, pendakwaan yang menganggap bahawa saksi itu belot, mengemukakan permohonan pada 14 Februari lalu mengikut Seksyen 154, Akta Keterangan 1950 untuk menyoal balas Norhaili dan Hakim Rozina Ayob membenarkan permohonan itu hari ini.

Ketika disoal balas Timbalan Pendakwa Raya, Law Chin How, Norhaili hari ini bersetuju dengan pendakwaan bahawa keterangannya di mahkamah sebelum ini adalah Bung Moktar tidak pernah meminta rasuah RM3.5 juta.

Norhaili turut bersetuju dengan cadangan timbalan pendakwa raya itu bahawa beliau memberitahu mahkamah pada 27 Januari lalu, wang RM2.8 juta yang diterima Zizie Izette adalah wang pengenalan yang layak diterimanya kerana pelakon itu memperkenalkan suaminya untuk FELCRA membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Ketika dicadangkan Chin How bahawa keterangannya itu membabitkan percanggahan yang serius dan material kepada kes terbabit, saksi itu menjawab 'setuju.'

Chin How kemudian mencadangkan bahawa Norhaili memberikan keterangan tidak memihak kepada pendakwaan, yang dijawab saksi 'Saya tidak pasti, tetapi saya hanya bercakap benar.'

Sementara itu, Norhaili bersetuju dengan cadangan Chin How bahawa hanya dia yang tahu versi mana yang betul dan apabila ditanya versi yang betul, saksi menjawab.

"Versi yang betul apabila saya tidak berada dalam keadaan tertekan.

"Ketika siasatan, saya berada dalam keadaan tertekan dan takut kerana ini adalah pengalaman kali pertama sepanjang 19 tahun dalam bidang unit amanah. Saya beri keterangan kepada SPRM.

"Saya sedih dan mengalami kemurungan seolah-olah saya bersalah, sedangkan saya sudah buat perkara betul," katanya.

Pada 3 Mei 2019, Bung Moktar mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan FELCRA untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Beliau juga mengaku tidak bersalah menerima suapan wang tunai RM335,500 daripada Norhaili di bawah nama Zizie Izette atas sebab sama dan di tempat sama pada 19 Jun 2015.

Zizie Izette, 44, pula mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa sama.

Prosiding soal balas terhadap Norhaili bersambung 18 Mac ini.- BH

 

Comment