Sabah mencatatkan 2,131 kes baharu COVID-19
17:03 Mar 04, 2022  |  By SabahKini2
Sabah mencatatkan 2,131 kes baharu COVID-19

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Masidi Manjun berkata, hampir seluruh daerah di Sabah mencatatkan trend penurunan kecuali di Tambunan, Penampang dan Papar.

KOTA KINABALU: Sabah merekodkan 2,131 kes baharu COVID-19 hari ini dengan jangkitan sporadik dalam komuniti kekal tinggi iaitu 69.03 peratus.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Masidi Manjun berkata, hampir seluruh daerah di Sabah mencatatkan trend penurunan kecuali di Tambunan, Penampang dan Papar.

"Sungguhpun berlaku penurunan kes harian pada skala yang agak besar, ancaman penularan baharu masih wujud dengan mengambil kira peratusan jangkitan sporadik dalam komuniti amat tinggi.

"Kes melalui jangkitan sporadik merupakan penyumbang utama kes-kes baharu hari ini pada 25 daripada 27 daerah di Sabah," katanya.

Beliau berkata, lima daerah mencatatkan kes tiga angka iaitu Kota Kinabalu 677 kes, Penampang 199 kes, Tuaran 145 kes, Papar 122 kes dan Kota Belud 100 kes.

Katanya, 19 daerah lagi mencatatkan kes dua angka dan tiga daerah iaitu Semporna, Kalabakan dan Kunak masing-masing mencatatkan kes satu angka.

"Sebanyak 2,118 daripada 2,131 kes-kes baharu hari ini adalah dalam Kategori 1 dan 2, enam kes dalam Kategori 3, enam kes dalam Kategori 4 dan satu kes dalam Kategori 5.

"Setakat ini, PICKids Sabah telah berjaya melaksanakan pemberian vaksin kepada 55,540 kanak-kanak daripada 411,400 kanak-kanak berumur antara lima sehingga 11 tahun yang layak divaksin," katanya.

Masidi berkata, sebanyak 231 kes hari ini melibatkan kanak-kanak bawah umur 11 tahun yang belum divaksin, dengan 129 daripadanya merupakan kanak-kanak yang belum layak mendapat vaksin (bawah umur 5 tahun).

Comment