Sabah tidak iktiraf tuntutan 'waris Kesultanan Sulu', tidak masuk akal kata Hajiji
23:03 Mar 04, 2022  |  By SabahKini2
Sabah tidak  iktiraf tuntutan 'waris Kesultanan Sulu', tidak masuk akal kata Hajiji

Sabah adalah sebuah negeri berdaulat dalam Persekutuan Malaysia. Tuntutan ‘waris Kesultanan Sulu’ tidak masuk akal. Rakyat perlu bertenang serah perundangan negeri dan persekutuan

Kerajaan negeri Sabah tidak pernah dan tidak akan mengiktiraf tuntutan ‘waris Kesultanan Sulu’ terhadap negeri itu, kata Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor.

Menyifatkan tuntutan itu sebagai 'sesuatu yang tidak masuk akal', beliau menegaskan bahawa Sabah adalah sebuah negeri berdaulat dalam Persekutuan Malaysia.

Justeru, Hajiji menggesa rakyat agar bertenang dalam isu itu dan menyerahkan kepada pasukan perundangan kerajaan negeri dan Persekutuan untuk menanganinya.

"Ia adalah satu tuntutan yang tidak masuk akal. Kedaulatan Sabah dalam Persekutuan Malaysia tidak seharusnya dipertikai," menurutnya dalam kenyataan pada Jumaat.

Pada Rabu lalu, kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar dan Jabatan Peguam Negara memaklumkan kerajaan Malaysia menolak sepenuhnya award sebanyak AS$14.92 bilion (RM62.6 bilion) yang kononnya perlu dibayar kepada keturunan Sultan Sulu terakhir iaitu Sultan Jamalul Kiram II.

Menurut laporan media, sebuah mahkamah timbang tara Perancis pada Isnin lalu memutuskan bahawa Malaysia telah melanggar perjanjian yang ditandatangani pada 1878 dan diperintah membayar sekurang-kurangnya AS$14.92 bilion kepada keturunan Sulu Sultan yang terakhir itu.

Award itu dikeluarkan oleh penimbang tara Sepanyol Gonzalo Stampa pada 28 Februari lalu. Proses timbang tara yang bermula di Sepanyol itu telah dipindahkan ke Paris di mana award tersebut diputuskan

 [ARTIKEL BERKAITAN-[VIDEO] Malaysia tidak iktiraf tuntutan waris Sultan Sulu ]

4 Comments