Lelaki ditembak mati mungkin ada kaitan kes dadah
17:03 Mar 05, 2022  |  By SabahKini2
Lelaki ditembak mati mungkin ada kaitan kes dadah

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar, berkata bagaimanapun pihaknya masih menjalankan siasatan termasuk menunggu laporan bedah siasat.

Polis tidak menolak kemungkinan kematian seorang lelaki yang ditembak di Kampung Pasir Tinggi, Marang, Terengganu, awal pagi ini ada kaitan kes dadah.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar, berkata bagaimanapun pihaknya masih menjalankan siasatan termasuk menunggu laporan bedah siasat.

Dalam kejadian 2.30 pagi, lelaki berusia 40-an itu disahkan meninggal dunia di Klinik Kesihatan Bukit Payung, Marang selepas ditembak dua lelaki menaiki motosikal.

Marzukhi berkata, berdasarkan maklumat, pengadu memaklumkan mangsa ditembak individu tidak dikenali yang menaiki motosikal.

Katanya, mangsa bersama dua rakannya berada di lokasi kejadian, sebelum didatangi dua individu yang dikatakan mahu berjumpanya untuk berbincang.

“Rakan mangsa mendengar bunyi letupan sementara dua lelaki terbabit melarikan diri. Mangsa kemudian dibantu rakannya dan dibawa ke klinik kesihatan berdekatan, namun disahkan meninggal dunia

“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah di Kuala Terengganu untuk bedah siasat,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Marzukhi berkata, polis masih menunggu laporan bedah siasat mangsa untuk menentukan kecederaan, namun berdasarkan keterangan rakan mangsa, mereka mendengar dua bunyi letupan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

 

Comment