Kes COVID-19 di Sabah terus catat penurunan
15:03 Mar 07, 2022  |  By SabahKini2
Kes COVID-19 di Sabah terus catat penurunan

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, trend menurun hanya boleh bertahan sekiranya semua kita mematuhi secara konsisten semua SOP dan saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)

KOTA KINABALU: Sabah terus merekodkan trend penurunan kes jangkitan COVID-19 dengan jumlah sebanyak 1,515 kes dilaporkan pada hari ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, ia merupakan penurunan sebanyak 263 kes lebih rendah berbanding semalam.

“Kota Kinabalu kekal menjadi penyumbang utama kes-kes baharu di Sabah dengan 479 kes (-32) diikuti oleh Tuaran 133 kes (-35) dan Penampang 103 kes (-103).

“Daerah-daerah lain mencatatkan kes baharu dua angka kecuali Semporna enam kes, Kunak empat kes dan Kalabakan satu kes,” katanya dalam kenyataan disini hari ini.

Masidi berkata, terdapat pertambahan kes baharu di 10 daerah dengan Tambunan merekodkan pertambahan 25 kes.

Katanya, selain daripada Penampang yang merekodkan penurunan kes yang tertinggi (-103), Beaufort juga mencatat penurunan yang agak besar dengan -54 berbanding sebelumnya.

“Penurunan jumlah kes-kes baharu secara keseluruhan tidak harus melalaikan masyarakat daripada mematuhi semua prosedur standard operasi (SOP) yang berkuatkuasa.

“Trend menurun boleh dengan cepat bertukar sebaliknya, apatah lagi dengan mengambilkira peratusan jangkitan sporadik kekal tinggi, iaitu 62.71 peratus daripada semua kes hari ini.

“Trend menurun hanya boleh bertahan sekiranya semua kita mematuhi secara konsisten semua SOP dan saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.

Masidi berkata, sebanyak 1,498 atau 98.88 peratus daripada 1,515 kes hari ini adalah dalam Kategori satu dan dua, lima kes dalam Kategori tiga, tujuh kes dalam Kategori empat dan lima kes dalam Kategori lima. -SM

1 Comment