Khairy bimbang sempadan dibuka rakyat Sabah terdedah kepada Covid-19 dengan kemasukan rakyat Filipina dan Indonesia. Kalau buka lagi ramai masuk walau ada prosedur tapi liputan vaksinasi Sabah penting
Penduduk Sabah perlu segera mendapatkan dos penggalak sebelum sempadan negara dibuka kerana dikhuatiri terdedah kepada Covid-19 dengan kemasukan rakyat Filipina dan Indonesia ke negeri itu, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.
Beliau berkata, kebimbangan itu susulan status vaksinasi di dua negara berkenaan yang menurutnya masih agak rendah.
“Apatah lagi yang bersempadan Sabah ini adalah kawasan yang bukan dekat dengan ibu kota, andaian kita adalah penduduk di selatan Filipina dan Kalimantan adalah (kadar) vaksinasi mereka rendah.
“Kalau buka sempadan lagi ramai masuk, walaupun kita ada prosedur, tapi liputan vaksinasi di Sabah penting kerana risiko Covid-19 dari negara jiran itu ada, ini untuk persediaan,” katanya menurut laporan Bernama.
Khairy yang bercakap selepas merasmikan Program “Mass Cataract Surgery Initiative” di Tawau berkata, setakat ini, 40% penduduk dewasa Sabah sudah menerima dos penggalak, manakala kira-kira 16% kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun telah menerima vaksin Covid-19.
Dalam pada itu, katanya, pelbagai usaha dilakukan bagi memastikan warga emas berumur 60 tahun ke atas di negara ini mendapatkan dos penggalak, termasuk melaksanakan “opportunistic vaccine”, iaitu golongan itu yang dimasukkan ke hospital dinilai dan divaksin sebelum pulang ke rumah.
Berkaitan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICkids), beliau berkata, ibu bapa tidak lagi perlu mengambil pendekatan “tunggu dan lihat” kerana program itu sudah dilaksanakan lebih sebulan dan rata-rata kanak-kanak yang mendapat vaksinasi hanya mengalami kesan sampingan ringan.
“Ibu bapa tidak mahu bagi kebenaran, meskipun program itu dibawa sampai ke sekolah, tapi pada hari vaksinasi, tidak datang. Jadi, saya merayu ibu bapa bawa anak vaksin sekarang kerana saya melihat semakin ramai kanak-kanak masuk hospital kerana Covid-19,” katanya.