Sabah merekodkan 1,216 kes baharu COVID-19
17:03 Mar 08, 2022  |  By SabahKini2
Sabah merekodkan 1,216 kes baharu COVID-19

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Masidi Manjun berkata, jumlah kes baharu itu tidak mencerminkan Sabah dalam fasa stabil, cuma 12 daerah daripada 27 daerah di Sabah mencatatkan penurunan kes baharu sedangkan 15 daerah lain merekodkan per

KOTA KINABALU: Sabah merekodkan sejumlah 1,216 kes baharu COVID-19 hari ini dengan jangkitan sporadik kekal penyumbang tertinggi.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Masidi Manjun berkata, sejumlah 64.06 peratus daripada jumlah kes hari ini adalah jangkitan sporadik.

"Ia merupakan hampir dua pertiga daripada jumlah kes baharu di seluruh Sabah.

"Jumlah kes baharu itu tidak mencerminkan Sabah dalam fasa stabil, cuma 12 daerah daripada 27 daerah di Sabah mencatatkan penurunan kes baharu sedangkan 15 daerah lain merekodkan pertambahan.

"Tujuh kluster diisytiharkan tamat hari ini yang mana enam daripadanya adalah kluster institusi pendidikan.

"Antara kluster berkenaan ialah Kluster Jalan Pertukangan (Sandakan), Kluster Teritipan (Kota Marudu), Kluster Lorong Api-Api (Kota Kinabalu), Kluster Jalan Sri Balung (Tawau), Kluster Jalan Pendidikan Ranau (Ranau) dan Kluster Sungai Batang Batu 10 (Sandakan)," katanya.

Beliau berkata, satu lagi kluster yang ditamatkan ialah kluster berisiko tinggi iaitu Kluster Montenior (Beaufort). Baki jumlah kluster yang masih aktif diseluruh Sabah ialah 31 kluster.

Katanya, tiga daerah mencatatkan kes tiga angka iaitu Kota Kinabalu 284 kes, Penampang 137 kes dan Papar 110 kes. 

"19 daerah lain mencatatkan kes dua angka dan tiga daerah mencatatkan kes baharu satu angka. Kunak dan Tongod tidak merekodkan sebarang kes baharu.

"Adalah diperhatikan terdapat pertambahan kes-kes baharu yang agak banyak dibeberapa daerah yang mencatatkan kes baharu dua angka.

"Antaranya ialah Keningau 75 kes (+31), Sandakan 49 kes (+24), Kota Belud 47 kes (+20) dan Putatan 39 kes (+25)," katanya.

Menurutnya, sebanyak 1,199 daripada 1,216 kes baharu hari ini adalah dalam Kategori 1 dan 2, tiga kes dalam Kategori 3.

"11 kes dalam Kategori 4 dan tiga kes dalam Kategori 5," katanya lagi.

Comment