PPM keluarkan notis perobohan terhadap 50 bagang haram
17:03 Mar 10, 2022  |  By SabahKini2
PPM keluarkan notis perobohan terhadap 50 bagang haram

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Siva Kumar a/l Vengadasalam berkata, semua bagang yang dikenakan notis itu diberikan masa sebulan untuk merobohkan struktur tersebut

TAWAU: Kira-kira 50 struktur bagang haram diberikan notis perobohan menerusi Operasi Bersepadu Khas di kawasan perairan Inderasabah dan Kalumpang, semalam.

Dalam kejadian jam 8.30 pagi itu, seramai 14 anggota daripada Zon Maritim Tawau dan Jabatan Perikanan Sabah Tawau menjalankan operasi di lokasi tersebut.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Siva Kumar a/l Vengadasalam berkata, semua bagang yang dikenakan notis itu diberikan masa sebulan untuk merobohkan struktur tersebut.

Katanya, bangang haram yang dikenal pasti itu telah melakukan kesalahan kerana beroperasi tanpa lesen dan binaan yang berada di luar had kawasan dibenarkan.

“Operasi khas ini bertujuan mengesan kewujudan bagang yang didirikan secara haram

dan di luar kawasan zon dibenarkan seperti termaktub dalam syarat sah lesen daripada Jabatan Perikanan.

“Selain itu, ia juga memberi peringatan kepada perusahaan hasil laut termasuk pengusaha bagang untuk sentiasa mematuhi peraturan dan syarat sah lesen yang dikeluarkan,” katanya.

Menurutnya, operasi ini juga adalah arahan Mesyuarat Ops Gasak Laut untuk mengambil tindakan mengeluarkan notis perobohan kepada pengusaha bagang yang tidak mematuhi syarat ditetapkan.

“Pembinaan struktur bagang di kawasan laut juga perlu diberi perhatian dan kawalan kerana berkemungkinan dijadikan persinggahan penjenayah seperti rompakan dan penyeludupan.

“Pemantauan dari semasa ke semasa sangat penting bagi memastikan keselamatan perairan negara terus dipelihara,” katanya.

Siva berkata, Maritim Malaysia menyambut baik usaha sama yang dijalankan bagi melaksanakan operasi bersepadu antara agensi-agensi setempat.

“Kerjasama baik antara agensi-agensi lain akan diperkukuhkan bagi memastikan penguatkuasaan undang-undang di kawasan perairan negara terus diperkasa.

Turut menyertai operasi tersebut ialah Ketua Pangkalan Utama Cawangan Tawau, Jabatan Perikanan Sabah, Laester.

Comment