PN tiada nama calon MB Johor - Muhyiddin
19:03 Mar 11, 2022  |  By SabahKini2
PN tiada nama calon MB Johor - Muhyiddin

Menurut Muhyiddin PN mengambil pendekatan untuk tidak mengumumkan mana-mana calon Menteri Besar sehinggalah gabungan parti itu diberi mandat oleh rakyat Johor.

PAGOH: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, menafikan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor paling berusia, Tosrin Jarvanthi, yang bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Permai, dinamakan sebagai calon Menteri Besar yang dipilih gabungan parti itu.

Muhyiddin berkata, poster yang tular menunjukkan Tosrin, 72, adalah bakal Menteri Besar Johor sekiranya PN berjaya membentuk kerajaan, esok adalah suatu fitnah dan berharap pengundi di negeri ini tidak termakan dengan taktik kotor itu.

Poster PALSU dalam laman sosial

Ahli Parlimen Pagoh itu berkata, PN mengambil pendekatan untuk tidak mengumumkan mana-mana calon Menteri Besar sehinggalah gabungan parti itu diberi mandat oleh rakyat Johor.

"Tidak betul, palsu! Saya sudah beritahu bahawa kami tidak ada umum sesiapa, ini taktik orang jahat.

"Dengan niat untuk fitnah dan sebelum ini saya turut difitnah bahawa saya nak menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk jadi calon Perdana Menteri.

"Apa cerita itu dan kita terpaksa nafikan. Dalam tempoh zaman muktahir seperti ini (orang) tertekan sampai dia sanggup buat cerita bohong dan fitnah untuk mempengaruhi pengundi.

"Saya fikir kita kena berjaga-jaga dengan orang yang berniat jahat seperti ini supaya kita jangan terpengaruh, " katanya kepada pemberita selepas Program Kementerian Pertanian dan Industri Makanan serta Majlis Pemulihan Negara (MPN) bersama Komuniti Agro Makanan Johor, di sini.

Sebelum ini tular sebuah poster yang menampilkan tiga calon Menteri Besar dari Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan PN.

Poster itu menunjukkan calon Menteri Besar dari BN ialah Datuk Seri Hasni Mohammad, Dr Maszlee Malik dari PH dan Tosrin dari PN.

Sementara itu, Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri, berkata dalam tempoh beberapa jam lagi sebelum tamatnya kempen, PN terus berusaha meraih sokongan pengundi.

Ketika ditanya mengenai jangkaan ramai pihak termasuk penganalisis politik bahawa BN akan menang besar di Johor, Muhyiddin bagaimanapun berkata ia sekadar ramalan.

"(BN menang?) Wallahualam...itu ramalan dan banyak juga ramalan bahawa PN menang...jadi yang mana satu?" katanya.

 

Comment