PH, PN tidak bermaya, BN mampu menang 35 kerusi di Johor kata Ilham Centre
20:03 Mar 11, 2022  |  By SabahKini2
PH, PN tidak bermaya, BN mampu menang 35 kerusi di Johor kata Ilham Centre

Kaji selidik Ilham Centre- Perpecahan pembangkang memberi kelebihan kepada BN dan PH dilihat buntu mencari formula magis bagi mengembalikan kegemilangan pencapaian mereka pada PPRU ke-14. PN juga sukar di 11 kerusi DUN.

Pakatan Harapan (PH) termasuk PKR dilihat 'tidak bermaya' untuk menyekat penguasaan BN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Berdasarkan hasil kaji selidik Ilham Centre, perpecahan pembangkang memberi kelebihan kepada BN dan PH dilihat buntu mencari formula magis bagi mengembalikan kegemilangan pencapaian mereka pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Ilham Centre juga menjangkakan BN mampu memenangi sekurang-kurangnya 35 kerusi manakala PH selesa di 10 kerusi.

Bagaimanapun katanya, 11 DUN lagi sukar diramal kerana berlaku perebutan sengit antara BN, Perikatan Nasional (PN) dan PH.

“Dapatan kami menunjukkan BN dominan di segmen komposisi etnik Melayu 70%, manakala bagi komposisi etnik bukan Melayu 50-69%, walaupun PN dan PH memberi saingan hebat, namun secara teknikalnya kemenangan akan berpihak kepada BN.

“Sebagai contoh di DUN Gambir, semakin tinggi sokongan yang diperolehi PN dalam kalangan pengundi Melayu, kemenangan masih lagi memihak kepada BN kerana PN tidak berjaya melepasi aras sokongan pengundi bukan Melayu yang diperlukan.

“Ini berlaku kerana undi tersebut berpihak kepada PH dan menyebabkan BN memperoleh kemenangan,” katanya.

Kajian di lapangan itu melibatkan 1,391 responden pengundi berdaftar di Johor mewakili semua segmentasi kaum, jantina, umur dan lokaliti.

Mengulas mengenai 11 DUN yang sukar diramal, Ilham Centre berkata, ia melibatkan Paloh, Endau, Simpang Jeram, Kemelah, Bekok, Tangkak, Yong Peng, Parit Yaani, Puteri Wangsa, Kempas dan Kota Iskandar.

“Beberapa faktor adalah pengaruh calon yang bertembung dan jangkaan keluar mengundi rendah terutama dalam kalangan pengundi Cina dan pecahan undi Melayu yang diterima BN dan PN.

“Faktor penyusutan ini mungkin berada pada paras 55% dalam kalangan pengundi Cina. Penyusutan ini sudah tentu akan menjejaskan peluang pembangkang untuk bertahan di kerusi-kerusi yang dinyatakan di atas,” menurut dapatan berkenaan.

Dalam pada itu, Ilham Centre berpendapat ketiadaan tokoh yang mampu menyatukan semua parti pembangkang dilihat menjadi punca PH hanya mampu menang di 10 kerusi berbanding 26 yang diperolehi pada PRU-14.

Katanya, PH termasuk PKR kelihatan tidak bermaya dan hilang arah untuk menyekat kemaraan BN selepas tewas teruk di Melaka dan Sarawak. PH masih buntu dalam mencari formula magis bagi mengembalikan kegemilangan pencapaiannya pada PRU14.

“PN menjadi saingan utama kepada BN namun peratusan bukan Melayu yang tidak menyokong gabungan ini menyebabkan mereka gagal mengatasi BN,” katanya.

Mengenai pengundi baharu seramai 869,362 atau 33.5% daripada jumlah undi, kajian itu tidak menolak faktor keluar mengundi dalam segmen berkenaan dijangka rendah dan tidak mampu memberikan impak yang signifikan seperti diharapkan oleh pihak tertentu untuk membuat perubahan.

“Kami mengenal pasti kecenderungan mereka sebenarnya terlarut dalam budaya setempat serta terikat dengan pilihan tradisi keluarga ekoran tidak mempunyai pegangan politik yang kuat,” menurut kajian itu lagi.

Johor mempunyai 56 DUN yang dibahagikan kepada empat zon, iaitu Zon Utara meliputi 16 DUN dari Buloh Kasap sehingga Sungai Balang, Zon Tengah dari Semerah sehingga Kahang, Zon Timur bermula Endau sehingga Tanjung Surat dan Zon Selatan dari Tiram sehingga Kukup.

Dalam beberapa siri ramalan Ilham Centre dalam PRK dan PRN yang dikendalikan oleh pengasasnya Hisommudin Bakar bekas Setiausaha Akhbar Dato’ Seri Saifuddin Nasution itu nampaknya ramalan Ilham Centre sering tepat. Hanya laporan di PRK Kimanis dan PRN Sabah Ilham Centre tersasar.

Untuk lebih lanjut sila ke laporan penuh Ilham Centre di portal mereka. Klik  Ilham Centre

 

 

 

Comment