Pinjaman Capital A RM500 juta dibatalkan selepas Tony, Kamarudin tolak jadi penjamin Danajamin
23:03 Mar 11, 2022  |  By SabahKini2
Pinjaman Capital A RM500 juta dibatalkan selepas Tony, Kamarudin tolak jadi penjamin Danajamin

Capital A Bhd berkata ia tidak akan mengambil fasiliti pinjaman kelab RM500 juta yang diluluskan baru-baru ini kerana ia tidak dapat menerima syarat-syarat tertentu termasuk beberapa jaminan bersama dari Tony Fernandes dan Kamarudin Meranun

AirAsia Group Bhd yang baru-baru ini menjenamakan semula syarikatnya kepada Capital A hari ini mengumumkan ia tidak dapat meneruskan pinjaman RM500 juta di bawah Skim Jaminan Prihatin yang dikendalikan Danajamin Nasional Bhd apabila dua pengasasnya menolak untuk menjadi penjamin pinjaman tersebut.

Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, Capital A Bhd berkata ia tidak akan mengambil fasiliti pinjaman kelab RM500 juta yang diluluskan baru-baru ini kerana ia tidak dapat menerima syarat-syarat tertentu termasuk beberapa jaminan bersama dari Tony Fernandes dan Kamarudin Meranun.

Capital turut berkata pihaknya tidak dapat memenuhi syarat Danajamin untuk melaksanakan pelan dan mendapatkan kelulusan bagi memulihkan ekuiti pemegang saham yang disatukan agar berada di atas RM40 juta dan 25% daripada modal saham atau untuk mendapatkan lanjutan masa bagi menyediakan pelan regulasi dari Bursa Malaysia untuk tempoh yang sepadan dengan fasiliti kelab itu.

“Capital A sedang meneroka alternatif pembiayaan hutang yang lain dengan syarat yang boleh diterima untuk keperluan operasi serta pembiayaan syarikat,” katanya.

Danajamin Nasional Bhd untuk pinjaman berjamin sebanyak 80% sehingga RM500 juta di bawah Skim Jaminan Danajamin Prihatin.

Skim tersebut adalah sebahagian daripada pakej rangsangan ekonomi Malaysia berikutan wabak Covid-19.

AirAsia diklasifikasikan sebagai PN17 apabila Bursa Malaysia menolak rayuannya untuk melanjutkan tempoh pelepasan selama 18 bulan yang berakhir pada 7 Januari 2022.

Bercakap pada 28 Januari lalu ketika pelancaran Capital A, Fernandes menepis klasifikasi tersebut, mengatakan ia adalah isu berkaitan perakauan syarikat.

“PN17 disebabkan pajakan yang mana kami tidak pernah bayar, justeru ia tidak sepatutnya direkodkan dalam untung dan rugi.

“Ia berkaitan perakaunan dan penstrukturan, yang menyebut tentang penggabungan defisit berjumlah RM5 bilion.

“Jika anda keluarkan dua faktor ini, sudah tentu kami tidak diklasifikasikan sebagai PN17,” katanya.

 

Comment