4 warga asing cuba masuk secara haram diusir PPM
15:03 Mar 14, 2022  |  By SabahKini2
4 warga asing cuba masuk secara haram diusir PPM

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Tawau, Deputi Superintendan Ridzauddin Selamat berkata, lima individu termasuk juragan di dalam bot berkenaan dan dipercayai bergerak dari negara jiran cuba masuk secara haram ke negara.

TAWAU: Hasrat empat warga asing masuk secara haram ke negara ini tidak kesampaian selepas ditahan oleh Pasukan Polis Marin (PPM) di kawasan perairan Tawau, semalam.

Dalam kejadian jam 9.40 pagi itu, anggota PPM yang menjalankan tugas di perairan tersebut mengesan pergerakan bot yang dinaiki kesemua warga asing terbabit.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Tawau, Deputi Superintendan Ridzauddin Selamat berkata, pasukannya bertindak menahan bot berkenaan untuk pemeriksaan.

Katanya, anggota PPM mendapati lima individu termasuk juragan di dalam bot berkenaan dan dipercayai bergerak dari negara jiran.

“Hasil pemeriksaan, juragan bot adalah warga tempatan, manakala penumpangnya terdiri tiga lelaki dan seorang wanita berumur 17 hingga 48 tahun tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Juragan dan kesemua warga asing berkenaan diberikan penerangan berkaitan prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 sebelum diiring keluar ke sempadan negara,” katanya.

Beliau berkata, operasi yang dijalankan sekarang adalah memberi fokus kepada pendekatan mengusir keluar berbanding tangkapan sebelum ini.

“Ia selaras dengan perintah Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1998 supaya tidak berlaku penularan wabak yang dibawa masuk oleh warga asing ke negara ini.

“Pendekatan itu juga sebagai langkah pencegahan awal agar tiada kemasukan warga asing melalui perairan laut Tawau,” katanya.

Comment