Ketua Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Tawau, Julius John Stephen Jr berkata, operasi mengawal dan memadam kebakaran di kawasan penempatan atas air itu dijalankan menggunakan sumber air terbuka.
TAWAU: Kira-kira 500 rumah setinggan musnah dalam kebakaran di Kampung (Kg) Kurnia Jaya, Batu 4 Jalan Apas, semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Julius John Stephen Jr berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.45 petang.
“Susulan itu, seramai 53 anggota dan pegawai digerakkan ke lokasi kejadian bagi operasi memadam dan menyelamat.
“Operasi juga turut dibantu anggota daripada BBP Semporna dan Bomba Komuniti Sri Titingan,” katanya semalam.
Katanya, pasukan bomba mengalami kesukaran untuk tiba di lokasi kejadian berikutan jalan sempit dan sesak dengan orang ramai yang cuba menyelamatkan harta benda.
“Selain itu, struktur binaan rumah yang terlalu rapat juga menyebabkan api cepat merebak dan menyukarkan operasi pemadaman.
“Bagaimanapun, pasukan bomba berjaya menghalang api daripada terus merebak ke kawasan perkampung lain berdekatan,” katanya.
Julius berkata operasi berjaya dikawal pada jam 9.37 malam setelah api sudah tidak merebak ke kawasan lain.
“Pasukan bomba menjalankan pemeriksaan akhir bagi memastikan api sudah terpadam sepenuhnya sebelum operasi ditamatkan pada jam 10.40 malam.
“Setakat ini tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan siasatan akan dijalankan bagi mengetahui punca serta jumlah kerugian yang dialami mangsa,” katanya.