(VIDEO) Lim Kit Siang umum bersara tidak tanding PRU-15
13:03 Mar 20, 2022  |  By SabahKini2
(VIDEO) Lim Kit Siang umum bersara tidak tanding  PRU-15

56 tahun menjadi pengasas DAP, Lim Kit Siang mengesahkan tidak bertanding jawatan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) dan PRU ke15.

KUALA LUMPUR: Veteran DAP, Lim Kit Siang hari ini mengumumkan persaraan beliau dalam arena politik.

Berkecimpung selama 56 tahun dan menjadi antara pengasas DAP, beliau mengesahkan tidak akan bertanding bagi jawatan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC).

Selain itu, beliau turut mengesahkan tidak akan bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Saya mengambil peluang ini untuk mengumumkan persaraan saya daripada politik.

"Saya menarik diri dari bertanding pilihan CEC hari ini. Sila padamkan no. 39 dari senarai calon CEC anda.

“Saya juga tidak akan bertanding dalam pilihan raya Parlimen atau negeri di masa hadapan.

“Saya telah berada dalam parti selama 56 tahun.

"Dua hari lepas merupakan ulang tahun ke-56 parti kita, dan selama ini saya melihat bagaimana parti kita telah berkembang dari sebuah parti pembangkang kecil yang mengambil bahagian pertama kali dalam Pilihan Raya Umum tahun 1969, sehingga menjadi sebuah parti politik utama yang berjaya menubuh kerajaan Persekutuan serta mengambil alih kerajaan di tujuh negeri bersama dengan rakan-rakan kita dalam Pakatan Harapan semasa PRU-14,” katanya ketika berucap pada Kongres Kebangsaan DAP Ke-17, di sini.

Mengulas lanjut, Kit Siang berkata Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang baru berlangsung merupakan satu peringatan yang penting bahawa impian Malaysia adalah sebuah negara bersatu padu, demokratik, adil dan berjaya serta dihormati masyarakat antarabangsa.

Sepanjang proses itu, beliau akui menghadapi banyak kejayaan dan kegagalan, kemenangan dan kekalahan, namun tekad dengan matlamat dan tidak sesekali berkompromi dari segi prinsip dan cita-cita.

“Kita mewakili harapan dan aspirasi rakyat Malaysia yang mahu melihat Malaysia berdiri megah di persada dunia kerana pencapaian kita dalam pelbagai bidang dan berjaya membina negara berlandaskan ciri-ciri kemajmukan yang sedia ada di negara ini -- pelbagai kaum, agama, budaya dan tamadun -- dan bukannya menjadi bahan jenaka atau diperli oleh masyarakat dunia kerana kita menjunam menjadi sebuah kleptokrasi, kakitokrasi dan negara yang gagal.

“Kita mesti mencetus semula harapan dan keyakinan terhadap masa depan kerana sama ada kita dapat memutar semula trend kemerosotan negara kita sejak setengah abad ini adalah bergantung kepada kita semua.

“Belum pernah lagi dalam sejarah DAP, semangat perpaduan, setiakawan, komitmen dan keazaman menjadi begitu penting dalam usaha kita untuk merealisasikan Impian Malaysia,” jelasnya.

Justeru, beliau akui, ia merupakan satu penghormatan buat dirinya selama ini kerana berpeluang bersama-sama dengan rakyat Malaysia yang patriotik sama ada di dalam atau di luar DAP untuk berganding bahu sepanjang perjalanan untuk merealisasikan impian Malaysia bersama.

Beliau berharap, usaha merealisasikan impian Malaysia mesti diteruskan sehingga berjaya dan kini tiba giliran generasi muda untuk meneruskan perjuangan tersebut.

Persoalannya apakah benar-benar Lim Kit Siang akan bersara? atau semua ini wayang politik dan beliau kekal di belakang tabir mengemudi DAP. 

2 Comments