Kes gaduh guna senjata tajam, enam ditahan
15:03 Mar 21, 2022  |  By SabahKini2
Kes gaduh guna senjata tajam, enam ditahan

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, hasil tindakan segera yang dijalankan, pasukan polis berjaya menahan empat lelaki tempatan dan dua warga asing termasuk tiga yang cedera berumur 20 tahun hingga 70 tahun.

TAWAU: Enam lelaki disyaki terlibat dalam kes rusuhan dan pergaduhan menggunakan senjata tajam di Kampung Kurnia Jaya, Batu 4 Jalan Apas di sini berjaya ditahan awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu, sebelum bertindak mengesan suspek yang terlibat.

Katanya, hasil tindakan segera yang dijalankan, pasukan polis berjaya menahan empat lelaki tempatan dan dua warga asing termasuk tiga yang cedera berumur 20 tahun hingga 70 tahun.

“Pasukan polis juga masih meneruskan siasatan dan mengesan suspek lain yang masih bebas bagi membantu siasatan.

“Siasatan awal mendapati kejadian berpunca disebabkan salah faham mengenai isu pembaikan jambatan di kawasan yang terlibat kebakaran,” katanya semalam.

Menurutnya, kesemua suspek telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Tawau untuk mendapatkan perintah reman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

“Lima daripada mereka telah direman selama empat hari, manakala seorang suspek direman sehari bagi membantu siasatan kes.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963,” katanya.

Jasmin berkata orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes ini bagi mengelakkan kekeliruan, kegusaran masyarakat serta mengganggu siasatan pihak polis.

“Masyarakat juga dinasihatkan untuk tidak sesekali menularkan maklumat-maklumat yang tidak sahih kepada umum.

1 Comment