Sabah menyasarkan liputan elektrik luar bandar mencapai 99.9% pada 2025
15:03 Mar 24, 2022  |  By SabahKini2
Sabah menyasarkan liputan elektrik luar bandar mencapai 99.9% pada 2025

Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Samad Jambri berkata, pelaksanaan program di bawah peruntukan kerajaan Persekutuan itu akan memberi manfaat kepada 318 kampung dan 16,464 rumah di seluruh negeri ini.

KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah menyasarkan liputan program Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) di negeri itu mencapai 99.9 peratus menjelang akhir 2025, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah diberitahu hari ini.

Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Samad Jambri berkata, Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) telah membuat perancangan lima tahun bermula tahun lepas hingga 2025 bagi mencapai sasaran tersebut.

Beliau berkata pelaksanaan program di bawah peruntukan kerajaan Persekutuan itu akan memberi manfaat kepada 318 kampung dan 16,464 rumah di seluruh negeri ini.

“Bagi memastikan pelaksanaan BELB berada di landasan betul, kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan telah mengambil inisiatif membuat perancangan secara menyeluruh dengan memberi keutamaan kepada kampung yang langsung belum mempunyai bekalan elektrik.

“Maklumat kampung yang tidak mempunyai bekalan elektrik ini diperoleh melalui Sistem Profail Kampung yang dikemas kini oleh pejabat daerah dari semasa ke semasa dan diserahkan kepada SESB,” katanya.

Beliau menjawab soalan lisan Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin (GRS-Nabawan) yang ingin tahu usaha sama yang dilaksanakan oleh KPLB Sabah dan Persekutuan setakat tahun ini bagi memastikan program BELB berada di landasan sepatutnya.

Menurut Samad lagi 66 kampung di Nabawan telah dikenal pasti belum mempunyai bekalan elektrik melibatkan 982 rumah, dan senarai kampung terbabit telah diserahkan kepada KPLB Persekutuan melalui Unit Perancangan Ekonomi Negeri sebagai cadangan untuk dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Ke-12.

Bagi Keningau pula, sehingga kini 111 kampung melibatkan 5,345 rumah telah dibekalkan elektrik melalui program BELB dan terdapat projek di beberapa kampung yang masih dalam peringkat pelaksanaan dan dijangka siap pada pertengahan tahun ini, katanya.

Sementara itu, Pembantu Menteri Kerja Raya Sabah Datuk Limus Jury ketika menjawab soalan lisan Datuk Ewon Benedick (UPKO-Kadamaian) berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah telah menyediakan satu Kertas Kabinet berhubung Dasar Pelaksanaan Projek-Projek Pembangunan Fizikal Persekutuan di negeri ini. 

Limus berkata Kertas Kabinet itu antara lain menyentuh mengenai pelaksanaan projek pembangunan fizikal di bawah peruntukan kerajaan Persekutuan yang dilaksanakan di Sabah dan seterusnya memohon persetujuan Jemaah Menteri agar pelaksanaan projek berkenaan dikendalikan oleh jabatan itu.

Ewon ingin tahu apakah inisiatif diambil oleh kerajaan Sabah sejak Oktober 2020 dalam memastikan JKR Sabah serta Jabatan Pengairan dan Saliran Sabah sebagai agensi teknikal pelaksana projek biayaan kerajaan Persekutuan di negeri itu.

Comment