[VIDEO] MA63: Sabah kekal tuntut hasil 40 peratus dari Persekutuan
01:03 Mar 25, 2022  |  By SabahKini2
[VIDEO] MA63: Sabah kekal tuntut hasil 40 peratus dari Persekutuan

Sekalipun Isu Pemberian Khas 40 peratus hasil negeri didebatkan di Parlimen dan DUN Sabah malah jawapan Menteri Kewangan mengelirukan kerajaan Sabah kekal dengan pendirian pertahan tuntutan 40 peratus selaras MA63.

 

Kerajaan Negeri tidak pernah menggugurkan satupun malah akan terus menuntut dan berusaha untuk mendapatkan semua hak-hak Sabah seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), termasuk hak untuk mendapat 40 peratus daripada pungutan hasil cukai oleh Kerajaan Persekutuan di Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor berkata, walau apa pun yang dikatakan di peringkat Persekutuan, ini menjadi asas kepada tuntutan Sabah dalam MA63.

“Saya ingin memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri akan terus menuntut, berusaha untuk mendapatkan 40 peratus kutipan cukai daripada Sabah. Itu pendirian kita,” katanya semasa menggulung untuk Kementerian Kewangan dan Jabatan Ketua Menteri di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini

Beliau menjawab soalan tambahan daripada Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal (Senallang) yang bertanya pendirian Kerajaan Negeri terhadap hak 40 peratus daripada pungutan hasil cukai oleh Kerajaan Persekutuan di Sabah.

Ini berikutan kenyataan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang dilaporkan berkata formula perkongsian hasil 40 peratus dengan Sabah tidak boleh lagi digunapakai kerana ianya dianggap di luar kapasiti kewangan Kerajaan Persekutuan.  

“Itu pandangan ataupun pendapat mereka. Tetapi pendirian Kerajaan Negeri ialah kita akan terus menuntut 40 peratus ini.

“Mana-mana yang tersenarai sebagai tuntutan utama kita, kita tidak pernah gugurkan. Kita akan terus tuntut sehingga kita dapat perolehan daripada apa yang telah dijanjikan dalam MA63,” kata Hajiji yang juga Menteri Kewangan.  

Isu-isu tuntutan ke atas hak-hak negeri seperti terkandung dalam MA63 dan perlembagaan turut dibangkitkan oleh wakil-wakil rakyat dari Tempasuk, Tungku, Senallang, Kadamaian, Petagas, Darau, Kapayan, Luyang dan Api-Api.

Ketua Menteri berkata, Kerajaan Negeri akan terus mempertahankan hak-hak Sabah seperti yang termaktub di dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta Perlembagaan Persekutuan.

“Tuntutan berkaitan dengan MA63 akan terus dibuat berteraskan semangat Keluarga Malaysia,” kata Hajiji.  

Perbahasan di Dewan Rakyat

Bukan sahaja di Sidang DUN Sabah,  perbahasan di Dewan Rakyat turut membincangkan isu Pemberian Khas 40 peratus hasil negeri dikutip Kerajaan Persekutuan berhubung jawapan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz Menteri Kewangan itu.

Ahli Parlimen seperti Datuk Mohd Azis Jamman (Warisan-Sepanggar), Isnaraissah Munirah Majilis (Warisan-Kota Belud), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (UPKO-Tuaran) dan Ahmad Hassan (Warisan-Papar) antara yang sibuk menjadi hero mengetengahkan isu ini.

17 Mac lalu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili menjelaskan isu pemberian khas 40 peratus hasil negeri Sabah dikutip kerajaan Persekutuan seperti termaktub dalam Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan akan dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Mesyuarat itu dijangka diadakan selepas selesai persidangan Dewan Rakyat penggal kali ini yang berakhir minggu depan bagi membincangkan keputusan Jawatankuasa Perundingan Bersama (JCC).

Keputusan JCC ini masih perlu dibentangkan di majlis khas tersebut dan setelah itu akan diputuskan dari segi jumlah yang akan diberi kepada Sabah. Saya telah bincang dengan Menteri Kewangan dan beliau mengatakan dan telah tekankan juga bahawa keputusan itu masih belum dibincangkan.

Memang negeri Sabah ada pandangan tersendiri dalam perkara ini. Jadi kita tunggu mesyuarat majlis khas yang dijangka diadakan bila selesai persidangan Parlimen minggu depan,” kata Ongkili

Apa yang jelas isu Pemberian Khas 40 peratus hasil negeri dikutip Kerajaan Persekutuan bukan isu baru malah ketika Kerajaan Warisan PH berkuasa di Sabah dan Kerajaan PH tidak pernah pun menunaikan janji mereka sebelum PRU 14

DAP PH Kencing Rakyat Sabah Sarawak sebelum PRU14

Malah Lim Guan Eng Menteri Kewangan ketika itu mengatakan tidak dapat menunaikan janji itu atas alasan Kerajaan Persekutuan  tidak ada cukup wang untuk berbuat demikian.

 

4 Comments