PDRM sentiasa siap siaga kawal sempadan negara
16:03 Mar 29, 2022  |  By SabahKini2
PDRM sentiasa siap siaga kawal sempadan negara

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mempertingkatkan persediaan dan pemantauan dalam usaha menjamin keselamatan rakyat negara.

KUALA LUMPUR: Kawalan keselamatan di sempadan negara termasuk di Sabah dan Sarawak dipertingkatkan menjelang pembukaan semula Jumaat ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mempertingkatkan persediaan dan pemantauan dalam usaha menjamin keselamatan rakyat negara.

Katanya, Pasukan Gerakan Am (PGA) sudah digerakkan untuk meningkatkan pemantauan di lokasi terbabit khusus di utara dan selatan Semenanjung serta di Sabah dan Sarawak katanya

“Apabila sempadan dibuka, kita akan kembali kepada asal dan seperti agensi lain, PDRM juga membuat persediaan khsusnya di kawasan sempadan. 

“Elemen pemantauan oleh PGA juga akan dipertingkatkan dan kita berharap dengan pembukaan sempadan ini, ia akan memudahkan orang awam,” katanya ketika ditemui media selepas Pelancaran Majlis Pelancaran Buku jenayah Siber di Malaysia: Impak Leluasa Internet.

Beliau berkata, PDRM juga akan melakukan beberapa program berkaitan pembukaan sempadan di beberapa negeri dimulai di Kelantan dan Kedah.

“Kita mahu tunjukkan kepada orang ramai bahawa kita sudah bersiap sedia untuk menangani apa juga perkara yang timbul susulan pembukaan sempadan ini,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini mengumumkan sempadan negara dibuka semula Jumaat ini dengan sebahagian besar prosedur operasi standard (SOP) dilonggarkan.

Antara pelepasan yang dibenarkan kerajaan adalah pengembara yang lengkap vaksinasi dibenarkan merentas sempadan darat tanpa perlu menjalani kuarantin atau melaksanakan ujian saringan COVID-19, termasuk ujian prapelepasan dan semasa ketibaan.

Comment