Guru diperdaya Macau Scam rugi RM254,600
17:04 Apr 03, 2022  |  By SabahKini2
Guru diperdaya Macau Scam rugi RM254,600

Ketua Polis Daerah Sipitang Deputi Superintendan Champin Piuh berkata, mangsa pada awalnya menerima panggilan telefon daripada individu yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan juga pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) berpangka

SIPITANG: Seorang guru di sebuah sekolah menengah di daerah ini mengalami kerugian sebanyak RM254,600 selepas terpedaya dengan penipuan membabitkan Macau Scam.

Ketua Polis Daerah Sipitang Deputi Superintendan Champin Piuh berkata, kejadian terbabit berlaku selepas mangsa dihubungi suspek pada 14 Mac lepas kira-kira jam 2 petang di sini.

Katanya, mangsa pada awalnya menerima panggilan telefon daripada individu yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan juga pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) berpangkat sarjan.

Menurutnya, mangsa dimaklumkan mempunyai tunggakan cukai berjumlah RM38,500.90 dari sebuah syarikat yang didaftarkan menggunakan nama mangsa.

"Mangsa turut dimaklumkan mengenai satu akaun bank berkaitan dana haram berjumlah RM312,000. Justeru, mangsa diminta menyerahkan maklumat bank bagi penyiasatan akaun bank dan dana terbabit.

"Dalam tempoh bermula 14 hingga 26 Mac 2022, mangsa  diarah memindahkan wang ke dalam enam akaun bank berbeza melibatkan lapan kali transaksi dengan jumlah yang berbeza.

"Suspek turut meminta mangsa mengemukakan  sebanyak empat kali sehari berserta gambar, resit transaksi, salinan dokumen pinjaman, dan maklumat berkaitan mangsa sebagai guru," katanya hari ini.

Beliau berkata, mangsa mula menyedari terpedaya dengan penipuan berkenaan pada 30 Mac lepas sebelum membuat laporan polis kerana khuatir semua dokumen serta identitinya disalah guna pihak tidak bertanggungjawab.

Champin berkata, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan membabitkan kesalahan tipu.

Dalam pada itu, pihaknya meminta semua warga Sipitang supaya tidak terpedaya dan melayan panggilan telefon daripada mana-mana pihak yang tidak dikenali dan menyamar sebagai  pegawai LHDN atau polis mahkamah.

Katanya, orang ramai diminta membuat semakan dan berhubung dengan pihak polis untuk kepastian dan butiran lanjut. 

Sebelum ini terdapat dua kes penipuan Macau Scam yang melibatkan warga pendidik dan kesihatan dilaporkan di daerah ini.

Comment