Polis Marin gagalkan cubaan PTI masuk ke perairan negara
14:04 Apr 04, 2022  |  By SabahKini2
Polis Marin gagalkan cubaan PTI masuk ke perairan negara

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Wilayah 4 Sandakan, Deputi Superintenden Rusdin Banin berkata, hasil pemeriksaan, terdapat seorang lelaki di dalam bot berkenaan dan tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

SANDAKAN: Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya menghalang seorang pendatang tanpa izin (PTI) cuba menceroboh masuk ke perairan negara, di kawasan Pulau Nunuyan, semalam.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Wilayah 4 Sandakan, Deputi Superintenden Rusdin Banin berkata, bot berkenaan dikesan petang semalam ketika melalui kawasan pulau tersebut.

Katanya, anggota PPM bertindak memintas dan menahan bot berkenaan untuk tujuan pemeriksaan dokumentasi.

“Hasil pemeriksaan, terdapat seorang lelaki di dalam bot berkenaan dan tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Lelaki terbabit juga mengaku dari negara jiran dan masuk ke perairan negara melalui jalan tidak diwartakan,” katanya dalam kenyataan media, di sini semalam.

Menurutnya, anggota PPM memberi amaran kepada warga asing berkenaan agar tidak memasuki perairan negara secara haram, sebelum mengusir keluar sehingga ke sempadan negara.

“Tindakan usir keluar itu selaras dengan kehendak undang-undang Akta Hak Kawalan Pencegahan Penyakit Berjangkit 1998 bagi mengekang penularan wabak COVID-19,” katanya.

Comment