3 lelaki ditahan bawa 10,600 liter petrol tanpa permit
14:04 Apr 05, 2022  |  By SabahKini2
3 lelaki ditahan bawa 10,600 liter petrol tanpa permit

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias berkata, tangkapan itu dilakukan menerusi satu operasi rondaan di kawasan Batu 16, Kampung Gum-Gum.

SANDAKAN: Dua pemandu lori ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) selepas didapati membawa muatan 10,600 liter minyak petrol tanpa permit di Jalan Sungai Manila, Batu 12, semalam.

Dalam kejadian jam 10.15 malam itu, anggota PGA turut menahan seorang lelaki yang mengaku pemilik bahan api berkenaan.  

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias berkata, tangkapan itu dilakukan menerusi satu operasi rondaan di kawasan Batu 16, Kampung Gum-Gum.

“Ketika melakukan rondaan, anggota PGA mengesan dua lori dalam keadaan mencurigakan sedang bergerak menuju ke arah Sandakan.

“Sepasukan Unit Task Force Perisikan Batalion 15 Sandakan kemudian mengekori lori berkenaan sebelum bertindak menahan di tepi jalan dekat lampu isyarat, Jalan Sungai Manila, Batu 12,” katanya.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua lori berkenaan membawa tong warna biru disyaki berisi petrol bersubsidi.

“Pemeriksaan lanjut, mendapati sebanyak 56 tong biru berisi 10,600 liter petrol bersubsidi tanpa dokumen yang sah berada di dalam lori berkenaan,”katanya semalam.

Menurutnya, kesemua petrol berkenaan dirampas, manakala, kedua-dua pemandu lori terbabit ditahan untuk siasatan lanjut.

“Turut ditahan seorang lagi lelaki yang mengaku sebagai pemilik minyak petrol yang dibawa menggunakan dua lori itu.

“Jumlah keseluruhan rampasan termasuk petrol dan dua lori dianggarkan bernilai RM121,730,” katanya.

Abdul Rani berkata, semua rampasan dan tangkapan tiga lelaki berumur 25, hingga 35 tahun itu dibawa ke Balai Polis Sandakan untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.

Comment