PPM rampas 1.3 tan daging sejuk beku seludup
14:04 Apr 05, 2022  |  By SabahKini2
PPM rampas 1.3 tan daging sejuk beku seludup

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Semporna, Deputi Superintenden Mohamad Ismail berkata, hasil pemeriksaan menemukan beberapa kotak daging ayam dan lembu dianggarkan seberat 1,300 kilogram di dalam bot.

SEMPORNA: Pasukan Polis Marin (PPM) rampas 1.3 tan daging sejuk beku dipercayai cuba diseludup ke luar negara jiran, di kawasan laut utara Pom-Pom, di sini semalam.

Dalam kejadian jam 9.30 malam itu, anggota PPM yang menjalankan tugas di perairan Semporna mengesan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan menuju ke sempadan negara.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Semporna, Deputi Superintenden Mohamad Ismail berkata, pasukannya bertindak memintas dan menahan bot berkenaan untuk pemeriksaan.

Katanya, sebaik ditahan, anggota PPM mendapati dua lelaki berumur 29 dan 46 tahun berada di dalam bot berkenaan.

“Hasil pemeriksaan menemukan beberapa kotak daging ayam dan lembu dianggarkan seberat 1,300 kilogram di dalam bot tersebut.

“Kedua-dua suspek juga gagal menunjukkan sebarang dokumen untuk membawa daging sejuk beku ke luar negara jiran,” katanya hari ini.

Menurutnya, semua barang rampasan termasuk bot yang dianggarkan bernilai RM36,900 itu dibawa ke Markas Operasi PPM Semporna.

“Kita percaya semua daging sejuk beku berkenaan cuba diseludup ke negara jiran berdasarkan kuantiti dan perjalanan bot tersebut.

“Kedua-dua supek kemudiannya ditahan dan kes dirujuk ke Jabatan Veterina Semporna untuk siasatan lanjut,” katanya.

Comment