Dua suspek kes samun ditahan
13:04 Apr 07, 2022  |  By SabahKini2
Dua suspek kes samun ditahan

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner, Jasmin Hussin berkata, kedua-dua suspek ditahan dalam satu serbuan yang dilakukan oleh sepasukan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau dan Balai Polis Bombalai di kawasan Ladang Imam Bombalai.

TAWAU: Dua lelaki warga asing disyaki suspek kes samun yang melarikan sebuah motosikal di Taman Semarak pada Isnin lalu berjaya ditahan, di sini semalam.

Kedua-dua suspek ditahan dalam satu serbuan yang dilakukan oleh sepasukan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau dan Balai Polis Bombalai di kawasan Ladang Imam Bombalai.   

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner, Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa pada Selasa, jam 1.24 pagi.

Katanya, mangsa, lelaki tempatan, pada awalnya berjumpa dengan kedua-dua suspek kerana mahu menghantar tempahan makanan kira-kira jam 11.30 malam.

“Bagaimanapun, sebaik tiba, suspek bertindak mengarahkan mangsa turun daripada motorsikal dan membuat ancaman sebelum kedua-duanya melarikan motorsikal milik mangsa.

“Mangsa kemudiannya segera membuat laporan polis di IPD Tawau,” katanya semalam.

Menurutnya, susulan laporan yang dibuat mangsa, sepasukan polis bertindak menjalankan siasatan dan mengesan kedua-dua suspek.

“Hasil siasatan, kedua-dua suspek yang berumur 33 dan 37 itu berjaya diberkas di sekitar ladang berkenaan.

“Manakala, sebuah motorsikal disyaki barang kes yang ditemukan di kawasan tersebut turut dirampas,” katanya.

Jasmin berkata, kedua-dua suspek dan barang rampasan berkenaan dibawa ke IPD Tawau untuk siasatan lanjut, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Comment