Dua beradik bawa rokok seludup bernilai RM85,848
13:04 Apr 07, 2022  |  By SabahKini2
Dua beradik bawa rokok seludup bernilai RM85,848

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias berkata, suspek berumur 35 dan 37 tahun terbabit ditahan bersama 820 karton rokok bernilai RM85,848 oleh anggota PGA menerusi Op Kontraban

LAHAD DATU: Dua beradik menerima padah selepas ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) kerana didapati membawa rokok seludup, di Jalan Jeroco - Lahad Datu, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, kedua-dua suspek berumur 35 dan 37 tahun terbabit ditahan bersama 820 karton rokok bernilai RM85,848 oleh anggota PGA menerusi Op Kontraban.  

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias berkata, pasukannya yang menjalankan rondaan di lokasi kejadian mengesan sebuah lori dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, anggota PGA bertindak menahan lori berkenaan untuk tujuan pemeriksaan ke atas muatan yang dibawa.

“Hasil pemeriksaan di dalam bahagian belakang lori menemukan 36 plastik hitam dan dua kotak warna coklat.

“Pemeriksaan lanjut ke atas bungkusan itu menemukan sebanyak 820 karton rokok tanpa cukai dianggarkan bernilai RM85,848,” katanya hari ini.

Menurutnya, kedua-dua suspek terbabit ditahan dan dibawa ke Klinik Kesihatan Lahad Datu untuk menjalani ujian saringan COVID-19.

Abdul Rani berkata, hasil soal siasat mendapati dua beradik terbabit mengambil upah untuk menghantar rokok seludup dari Kota Kinabalu ke Tawau.

“Jumlah keseluruhan rampasan termasuk lori bernilai RM235,848 dan kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967,” katanya.

Comment