Ketua Menteri Sabah terima kunjungan Menteri MAFI
15:04 Apr 07, 2022  |  By SabahKini2
Ketua Menteri Sabah terima kunjungan Menteri MAFI

Ronald memberi taklimat kepada Hajiji mengenai tumpuan Kerajaan Pusat dan kementeriannya terhadap aspek keselamatan makanan negara (food security), serta usaha berterusan yang dijalankan bagi mengukuhkan sekuriti makanan negara

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menerima kunjungan hormat Menteri Pertanian dan Industri Makanan Malaysia (MAFI), Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee dan rombongan di pejabatnya di Menara Kinabalu, hari ini.

Rombongan Ronald terdiri daripada Timbalan Menteri, Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) MAFI, Datuk Badrul Hisham, Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr. Mohd Zabawi Abdul Ghani, Ketua Pengarah Lembaga Perindustrian Nanas, Mohd Khairuzamri M. Salleh dan Ketua Perniagaan Komersial Agrobank, Azman Md Isa.

Ronald memberi taklimat kepada Hajiji mengenai tumpuan Kerajaan Pusat dan kementeriannya terhadap aspek keselamatan makanan negara (food security), serta usaha berterusan yang dijalankan bagi mengukuhkan sekuriti makanan negara.

Perbincangan antara lain telah menjurus kepada pelbagai bentuk kerjasama bagi terus memodenkan sektor pertanian Negeri Sabah dan pendekatan-pendekatan yang dapat terus menyumbang kepada peningkatan hasil pengeluaran pertanian negeri dan seterusnya memperkukuh sekuriti makanan negara secara keseluruhannya.

Perjumpaan itu juga turut membincangkan mengenai kerjasama yang akan dimeterai melalui memorandum-memorandum yang akan ditandatangani pada hari ini. Ini turut menunjukkan komitmen Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah untuk menjadikan sektor agromakanan sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi dan meningkatkan kesejahteraan rakyat termasuk usaha mengembangkan industri nanas di Negeri Sabah melalui kerjasama strategik antara MAFI, MAFS dan LPNM yang seiring dengan hasrat bersama untuk meningkatkan sektor pertanian dan bagi membantu petani-petani di Negeri Sabah.

Ronald juga memaklumkan kepada Hajiji, kerjasama strategik antara Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan pihak swasta dalam sektor agromakanan dapat menjadi pemangkin kepada pencapaian dan selari dengan Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) dan Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya 2021 – 2025.

“Kerjasama erat antara MAFI dan MAF Sabah adalah penting dalam melaksanakan inisiatif-insiatif yang dirancang dengan baik bagi memastikan pembangunan sektor pertanian dan industri makanan yang mampan dan berdaya saing.

“Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri berkongsi aspirasi bersama dan komited untuk terus bekerjasama untuk memodenkan sektor agromakanan, meningkatkan produktiviti bagi mengurangkan kebergantungan kepada import, serta mengurus sektor agromakanan dengan lebih efisien dalam usaha menjamin sekuriti makanan negara,” katanya.

Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr Safar Untong. -SM

Comment