Dua kilang sawit di Lahad Datu diserbu tipu isytihar Cukai Jualan Sabah
02:04 Apr 08, 2022  |  By SabahKini2
Dua kilang sawit di Lahad Datu diserbu tipu isytihar Cukai Jualan Sabah

Kilang-kilang mengisytiharkan kuantiti Minyak Sawit Mentah 30% - 50% kurang dari kuantiti yang sebenar kepada Jabatan Cukai Jualan setiap bulan. Rekod tidak sepadan dengan MPOB dan rekod jualan kilang. Menipu!

Pihak Berkuasa Kerajaan sedang menyiasat beberapa Kilang Minyak Kelapa Sawit yang beroperasi di Sabah kerana di dakwa melakukan penipuan untuk mengurangkan bayaran Cukai Jualan Sabah yang sepatutnya dibayar mengikut undang-undang Akta Cukai Jualan Negeri Sabah.

Pengelakkan cukai ini dibuat dengan menyerahkan borang pengisytiharan cukai yang mengandungi butiran yang palsu kepada Jabatan Cukai Jualan Sabah. Jabatan ini terletak di bawah naungan Kementerian Kewangan Sabah

Pegawai dari Jabatan Cukai Jualan dikatakan bekerja dalam kohort dengan kilang dengan menerima dan memproses Borang Akuan Cukai Jualan bulanan tanpa mengesahkan kesahihan butiran yang diisytiharkan oleh kilang.

Kuantiti yang diisytiharkan dalam borang pengisytiharan cukai jualan tidak sepadan dengan kuantiti yang diisytiharkan oleh kilang kepada Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dan rekod jualan yang diperolehi daripada kilang oleh pihak berkuasa.

Kilang-kilang ini dikatakan telah mengisytiharkan kuantiti Minyak Sawit Mentah 30% hingga 50% kurang dari kuantiti yang sebenar kepada Jabatan Cukai Jualan setiap bulan.

Beberapa kakitangan sebuah kilang yang terletak di Lahad Datu baru-baru ini telah disoal siasat oleh pihak berkuasa berhubung penipuan ini. Kilang tersebut di Lahad Datu dipercayai mempunyai ibu pejabatnya di Semenanjung Malaysia. Nama-nama syarikat buat masa ini tidak didedahkan bagi mengelakkan gangguan siasatan pihak berkuasa.

Sumber mengesahkan pihak berkuasa telah menyiasat kilang di Lahad Datu itu termasuk siasatan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. Setakat ini dua kilang telah dikenal dan beberapa kilang lagi masih disiasat termasuk membekukan akaun syarikat.

Pengelakkan dan penipuan cukai jualan ini telah mengakibatkan kerugian berjuta-juta hasil bagi Kerajaan Negeri Sabah sejak pelaksanaan 7.5% Cukai Jualan Sabah untuk Minyak Sawit Mentah.

Penipuan kilang-kilang ini tidak dapat diterima oleh itu Kerajaan Negeri Sabah dan pihak berkuasa wajar mengambil tindakan tegas  bagi mengelak ketirisan. Bagi Pegawai yang terlibat rasuah atau salah guna kuasa SPRM wajar mengheret mereka ke mahkamah.

Comment