Produktiviti eksport di Sabah berpotensi kembang lebih RM600 juta
15:04 Apr 08, 2022  |  By SabahKini2
Produktiviti eksport di Sabah berpotensi kembang lebih RM600 juta

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, sasaran berkenaan mampu dicapai menerusi jalinan kerjasama yang dimeterai di antara Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Kementerian Pertanian dan Perikanan Sabah

KOTA KINABALU: Sabah berpotensi untuk mengembangkan produktiviti eksport nanas dengan anggaran nilai pengeluaran berjumlah RM643 juta dalam tempoh lima tahun (2021-2025).

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, sasaran berkenaan mampu dicapai menerusi jalinan kerjasama yang dimeterai di antara Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Kementerian Pertanian dan Perikanan Sabah (MAFS) dan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM).

Menurutnya, menerusi kolaborasi berkenaan, produktiviti nanas di negeri ini dapat ditingkatkan melalui penggunaan kaedah dan teknologi penanaman nanas yang disediakan oleh LPNM.

Katanya, industri nanas adalah salah satu industri yang memberi sumbangan terhadap pembangunan dan kemajuan ekonomi negara.

Sehubungan itu, jelasnya, sebagai negeri ketiga pengeluar utama nanas di Malaysia, Sabah adalah negeri yang mempunyai potensi untuk pengembangan industri nanas negara.
 
"Berdasarkan Data Pengeluaran Nanas 2020, produktiviti tanaman nanas per hektar di Sabah mencatatkan penurunan dengan 14.92 juta tan metrik per hektar pada 2020 berbanding 15.6 tan metrik per hektar pada 2016. 

"Dalam usaha untuk menggalakkan pembangunan, pengeluaran dan pemasaran nanas di Sabah, MAFI melihat terdapat keperluan untuk menerapkan teknologi dan kaedah terkini yang diguna pakai oleh LPNM terhadap aktiviti-aktiviti di setiap rantaian bekalan industri nanas.
 
"Melalui sesi perundingan yang diadakan antara MAFI dengan MAFS, cadangan untuk mengadakan kerjasama strategik bagi mengembangkan industri nanas di Sabah dipersetujui kedua-dua pihak pada 18 Oktober 2021," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara MAFI, MAFS dan LPNM semalam.

Ronald berkata, menerusi kerjasama itu, pihaknya mahu menjadikan penanaman nanas di negeri ini sebagai satu industri seperti di Semenanjung.

Menurutnya, sasaran di peringkat awal adalah untuk membuka kawasan seluas 1,500 hektar untuk penanaman nanas secara besar-besaran dan dijangka ia boleh menghasilkan pengeluaran nanas sebanyak 200,000 tan metrik dalam jangka masa lima tahun akan datang.

"Sabah adalah negeri yang strategik dari segi lokasinya dan pengimport nanas luar negara juga terdiri dari negara-negara jiran serta negara Timur Tengah.

"Justeru, Sabah amat strategik dari segi pengeluaran dan pengeksportan bahan makanan. Namun, kita masih belum meneroka sepenuhnya negeri ini sebagai pengeksport buah-buahan, tanaman, dan sektor agro makanan secara keseluruhannya.

"Tiba masanya untuk kita fikirkan mengenai perkara itu untuk mencapai hasrat menjadikan Sabah sebagai pengeksport industri agro makanan pada masa akan datang," jelasnya.

Dalam pada itu katanya, selain penanaman nanas, turut dibangunkan industri hiliran produk nanas yang dilihat akan berlaku secara semula jadi apabila sesebuah industri dihasilkan.

Ronald berkata, antara persetujuan yang dicapai menerusi kerjasama itu adalah pembentukan dua jawatankuasa untuk membantu menyusun strategi membangunkan industri nanas di Sabah.

"Melalui jawatankuasa ini, peranan dan tanggungjawab yang berkaitan digariskan bagi memastikan setiap perkara yang dijalankan di Sabah mengikut landasan yang ditetapkan dan dipersetujui.

"Jawatankuasa berkenaan adalah Jawatankuasa Pemandu Pembangunan Industri Nanas Negeri Sabah yang dipengerusikan bersama oleh Ketua Setiausaha MAFI dan Setiausaha Tetap MAFS dan Jawatankuasa Teknikal Pembangunan Industri Nanas Negeri Sabah yang dipengerusikan bersama oleh Ketua Pengarah LPNM dan Pengarah Pertanian Negeri Sabah," katanya.

Beliau berkata, bagi pembangunan industri nanas di Sabah, projek usahasama antara MAFI, LPNM dan MAFS akan dinamakan sebagai Projek Perintis Pembangunan Industri Nanas Negeri Sabah.

Katanya, MAFI melalui LPNM memperuntukkan sejumlah RM1 juta tahun ini bagi pembangunan industri nanas di Sabah berdasarkan kepada perancangan yang dipersetujui oleh semua pihak.

Pada majlis MoU itu, MAFI diwakili oleh Ketua Setiausaha MAFI Datuk Haslina Abdul Hamid; MAFS diwakili oleh Setiausaha Tetap MAFS Datuk Dr. Mariana Tinggal, manakala LPNM diwakili oleh Ketua Pengarah LPNM Mohd Khairuzamri M Salleh.

Turut hadir menyaksikan MoU berkenaan Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey Kitingan.

Comment