Pelbagai pakej menarik Sabah ditawarkan di Pameran MATTA 2022
16:04 Apr 08, 2022  |  By SabahKini2
Pelbagai pakej menarik Sabah ditawarkan di Pameran MATTA 2022

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sabah Noredah Othman berkata, pesta Kaamatan disambut setiap tahun pada bulan Mei dan tarikh sambutan untuk setiap daerah dan kampung adalah berbeza dalam bulan berkenaan.

KOTA KINABALU: Pelancongan Sabah akan membawa semangat sambutan Pesta Kaamatan ke pameran Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) 2022.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sabah Noredah Othman berkata, pesta Kaamatan disambut setiap tahun pada bulan Mei dan tarikh sambutan untuk setiap daerah dan kampung adalah berbeza dalam bulan berkenaan.

"Tetapi sambutan untuk peringkat negeri sentiasa pada 30 dan 31 Mei. Bagi pelawat yang mengunjungi gerai kami dalam pameran MATTA, ia akan memperkenalkan sambutan istimewa ini," katanya, semalam.

Katanya, pesta Kaamatan sangat berhubung kait dengan lagenda Humindun. Semangat Kaamatan boleh ditunjukkan dengan menghargai pengorbanan yang dilakukan dalam usaha membenarkan ekonomi kembali pulih, khususnya sektor pelancongan.

Menurutnya, semua pengunjung dijemput meraikan perayaan pada 9 April sehingga 10 April di booth nombor 4099-4114, Dewan 4 Pusat Dagangan Dunia, Kuala Lumpur.

Tambahnya, sepanjang dua hari program diadakan, pelbagai pakej peranginan ditawarkan kepada orang ramai, antaranya tarikan utama Gunung Kinabalu Tapak Warisan Dunia UNESCO pertama Malaysia.

"National Geopark, Lembah Danum, Pusat Pemuliharaan Orang Utan Sepilok, Pulau Sipadan, Kundasang dan banyak lagi," katanya.
 
Katanya, untuk pengguna e-wallat seperti Boost, pelanggan boleh menebus baucer RM100 Mansau Sabah Boostku di gerai ini. Ia boleh digunakan untuk semua pakej yang ditawarkan dalam pameran ini.
 
Pengunjung juga boleh menyertai peraduan dan peluang memenangi pakej percutian 3 hari 4 malam ke Pulau Kapalai menerusi edisi #FlymetoSabah MATTA dengan hanya menulis poskad yang disediakan di gerai Pelancongan Sabah dan memasukan poskad itu ke dalam kotak disediakan.

Comment